Lizam Riduan

Sebagai langkah pemodenan perkhidmatan teksi di negara ini, pemaju aplikasi MySuri Biz Technologies (Mysuri BizTech) yang menyediakan aplikasi TeksiKu, kini menawarkan perkhidmatan teksi elektrik di negara ini.

Program transformasi daripada penggunaan teksi dan kereta sewa enjin pembakaran bahan api (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV), ia juga selari dalam usaha kerajaan dalam program pengenyah karbon.

Selain itu Mysuri BizTech juga menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bekerjasama dalam penyediaan infrastruktur pemasangan stesen pengecas EV untuk digunakan TeksiKu EV, termasuk orang ramai.

 TEKSI EV pertama di Malaysia.
TEKSI EV pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MySuri Mohd Noor Ghazali berkata, perancangan ini dimulakan sejak 2020.

"Sebelum ini, kami sudah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan mereka menyokong penuh usaha ini.

"MG5 EV adalah model pertama yang akan diperkenalkan selain BYD E6 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) MGZS EV untuk fasa seterusnya," katanya.

 CIRI wagon segmen-C.
CIRI wagon segmen-C.

Tujuh ratus unit MG5 akan dibawa masuk ke Malaysia dan tiba November ini.

"Keutamaan kami ialah kepada pemandu yang mereka akan datang dengan imej lebih kemas dan profesional.

"Warna kuning juga dipilih untuk teksi kerana ia memudahkan pengguna mengenal pastinya sebagai teksi elektrik," katanya.

Sistem pengecasan juga akan disediakan sama ada untuk kegunaan peribadi dengan menyediakan pakej untuk pemandu teksi EV di lokasi tumpuan seperti lapangan terbang selain pusat pengecasan utama yang disediakan syarikat.

Malah pusat pengecasan itu juga boleh digunakan untuk kegunaan awam dengan kira-kira 2,000 pusat pengecasan bakal disediakan.

Kira-kira 80 peratus pusat pengecasan adalah untuk Arus Ulang-Alik (AC 22Kwh) dan selebihnya ialah Aliran Terus (DC 60kwh)

Ia bakal dipasang di luar Lembah Klang iaitu di Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang bagi meluaskan penggunaannya.

TAMPIL dengan ciri gaya 'Teksi New York'.
TAMPIL dengan ciri gaya 'Teksi New York'.

Stesen stesen pengecas EV kendalian Mysuri BizTech boleh dicapai melalui aplikasi MyCaj.

Katanya, di Pulau Langkawi, 100 unit MG5 EV bakal digunakan selain sebagai persediaan untuk acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23).

"Ia adalah usaha teksi elektrik ini untuk menarik lebih banyak pengguna EV ke pulau itu," katanya.

Mengenai pembiayaan pembelian teksi EV, ia akan diuruskan oleh Koperasi Jurupandu Teksiku Bhd.

Individu yang berminat pula digalakkan menjadi anggota Koperasi untuk skim Teksiku EV.

Ia meliputi kos pendaftaran RM20 serta melanggan syer minimum RM250 dan ke atas.

KESELESAAN penumpang.
KESELESAAN penumpang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 7:30 AM