Lizam Ridzuan

Meskipun cuaca membahang, ia tidak menghalang kemeriahan Minggu Ducati Dunia 2022 (WDW2022) edisi ke-11 yang diadakan di Itali baru-baru ini.

Lebih 80,000 pengunjung hadir pada acara dijalankan selama tiga hari itu.

Ia membabitkan pemilik (Ducatisti) dan peminat motosikal Ducati dari 84 negara termasuk Malaysia.

Menurut Ducati Malaysia, 40 pemilik termasuk pengedar dari negara ini, turut terbang ke Itali bagi merasai sendiri kelebihan dan pengalaman pemilikan motosikal premium itu.

Limpahan pelbagai model motosikal Ducati daripada model klasik sehingga yang terkini memenuhi kawasan parkir Misano World Curcuit (MWC) 'Marco Simoncelli' iaitu lokasi utama acara itu diadakan.

Selain pameran motosikal terkini, acara yang diadakan dua tahun sekali oleh pengeluar Ducati berpangkalan di Bologna itu turut menyelitkan pelbagai aktiviti menarik khusus buat peminat jentera dua roda.

WDW2022 di Itali.
WDW2022 di Itali.

Pelbagai booth disediakan termasuk daripada rakan perniagaan dan yang berkaitan industri. Sebanyak 45 aktiviti bual bicara dijalankan di lima lokasi pentas utama untuk mendalami pelbagai teknologi yang ditawarkan oleh pengeluar motosikal berkenaan.

Ia termasuk perkongsian pengalaman Johann Zarco dan Emerson Gattafoni yang menunggang mengelilingi dunia bersama jentera Multistrada.

Acara menarik lain ialah 'WDW MotoX2 Experience' yang menawarkan kepada pengunjung untuk membonceng motosikal perlumbaan yang ditunggang oleh Franco Battaini.

Konvoi pemilik mengelilingi litar MWC turut diadakan sebelum kesemuanya menghala ke pantai Samsara di Riccione untuk acara 'Scrambler Beach Party'.

Acara paling ditunggu ialah 'Lenovo Race of Champions' membabitkan 21 pelumba Ducati daripada kejuaraan MotoGP, Superbike dan Supersport yang berlumba dengan motosikal standard model Panigale V4 S serta Panigale V2.

PERLUMBAAN Lenovo Race of Champions.
PERLUMBAAN Lenovo Race of Champions.

Bahagian yang ditukar hanyalah tayar dan ekzos kepada versi perlumbaan.

Menerusi perlumbaan 12 pusingan itu, Francesco Bagnaia (pelumba pasukan Ducati Lenovo Team) muncul juara kategori V4 S dengan mencatatkan masa satu minit 35.886 saat manakala Federico Caricasulo (Althea Racing) muncul juara kategori Panigale V2.

Perlumbaan ini tampil unik kerana ia yang pertama seumpamanya dilakukan oleh mana-mana pengeluar motosikal membabitkan perlumbaan sebegini.

Malah di Itali, ia disiarkan secara langsung menerusi saluran 'Sky Sport MotoGP'.

Bahagian motosikal yang digunakan dalam perlumbaan Lenovo Race of Champions akan dijual. Ia disertakan ciri istimewa seperti pelekat dan nama pelumba cetakan laser pada 'triple clamp bearing'.

Acara lain untuk yang disediakan ialah 'Ducati Riding Experience (DRE) Adventure' untuk mencuba motosikal seperti Multistrada, Scrambler dan yang terbaharu, DesertX.

Penulis berpeluang mencubanya hasil tunjuk ajar daripada jurulatih dan pelumba off-road Ducati.

Kawasan trak lasak binaan khas dengan beberapa halangan turut disediakan. Ia bagi meningkatkan kemahiran menunggang.

PAMERAN motosikal terbaharu.
PAMERAN motosikal terbaharu.

Selain itu, media juga dibawa mengunjungi ke ruang 'Design Journey Ducati' bagi melihat proses penghasilan rekaan, bermula daripada lakaran idea, model tanah liat dan produk akhir sesebuah motosikal seperti yang ditunjukkan pada hari itu iaitu sportbike Panigale.

Lokasi ruang pameran lain yang sempat dilawati ialah 'Ducati Unica' iaitu ciri binaan khas motosikal Ducati yang boleh ditempah pemilik untuk tampil berbeza.

Buat masa ini, Ducati Unica hanya menerima pesanan maksimum 12 unit setahun dan setiap satunya mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Secara keseluruhan, WDW2022 memperlihatkan secara menyeluruh keupayaan dan teknologi motosikal premium yang disediakan oleh Ducati.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Claudio Domenicali, acara itu menyerlahkan lagi pengalaman pemilikan untuk motosikal jenama berkenaan.

Katanya, syarikat bukan sekadar menjual motosikal malah menawarkan jiwa dan emosi bersamanya.

"Meskipun masih ada yang belum membenarkan penerbangan merentasi negara, namun kehadiran ribuan Ducatisti dari seluruh dunia untuk menjayakan acara ini amat kami hargai.

"Saya berterima kasih kepada semua yang terbabit kerana menjadikan WDW2022 sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan antara pelanggan dan peminat jentera dua roda dalam acara yang meriah ini," katanya.

(Penulis membuat liputan di Misano World Circuit, Itali baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 6:55 AM