SAGREE (kanan) bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM Michael Jopp.
SAGREE (kanan) bersama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM Michael Jopp.
Lizam Ridzuan


SEIRING ke arah kenderaan ciri pintar serta mesra alam, pelbagai jenis kenderaan elektrik (EV) ditawarkan ke pasaran tempatan.

Antara yang terbaharu ialah barisan model Mercedes-EQ terdiri daripada Mercedes-EQS 450+, Mercedes-EQB 350 4Matic dan Mercedes-EQC 400.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes Benz Malaysia (MBM) Sagree Sardien berkata, syarikat kini dalam landasan yang tepat ke arah kemampanan masa hadapan menerusi pengenalan tiga model elektrik ini.

"Kami komited ke arah 'Lead in Electric' dalam menyediakan model barisan EQS untuk pasaran Malaysia.

"Kenderaan ini turut mampu melengkapi setiap keperluan gaya hidup pengguna," katanya.

Untuk model saloon mewah EQS 450+, enjinnya mampu menjana 333 kuasa kuda (hp) dan tork 565Nm.

Ia dijana bateri 107.8 kWh dengan jarak capaian perjalanan sekitar 631 hingga 782 kilometer (km) malah mampu mencapai kelajuan sehingga 210 kilometer/sejam (km/j).

Untuk pengecasan aliran ulang-alik (AC), ia mengambil sekitar 10 jam untuk kapasiti 10 hingga 100 peratus dan bagi pengecas aliran terus (DC) bagi tempoh sekitar 30 minit, ia mampu memenuhi 10 hingga 80 peratus kapasiti.

Model EQB 350 4Matic pula adalah kenderaan mewah elektrik pertama dengan kapasiti tujuh tempat duduk dengan kuasa enjinnya mampu menjana 292hp dan tork 520Nm.

Ia mampu bergerak sejauh 388km hingga 423km dengan bateri 66.5kWH menerusi pengecas AC.

Untuk model EQC 400 4Matic, ia adalah generasi pertama kenderaan elektrik untuk jenama kenderaan ini.

Enjinnya mampu menjana 408 kuasa kuda (hp) dan tork 760Nm dengan keupayaan jarak perjalanan 373 hingga 437km menerusi satu pengecasan penuh.

Baterinya dengan tenaga 80.0 kWH boleh dicas menggunakan pengecas AC. Ia mengambil masa tujuh jam 30 minit untuk mencapai tahap 10 hingga 100 peratus.

Bagi pengecas DC, ia mengambil masa sekitar 40 minit untuk mencapai tahap 10 hingga 80 peratus.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes EQS 450+ dijual pada harga RM698,888, Mercedes-EQB 350 4Matic (RM330,000) dan RM390,000 untuk Mercedes EQC 400 4Matic. (semua harga atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 6:50 AM