Lizam Ridzuan

Sejak diperkenalkan, Perodua Alza menjadi pilihan rakyat Malaysia yang inginkan kenderaan pelbagai guna (MPV) mampu milik bagi kegunaan harian dan pelbagai lagi.

Selepas lebih 13 tahun, akhirnya Perodua Alza Serba Baharu dilancarkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menampilkan rekaan lebih elegan, ia dibangunkan di atas platform Seni Bina Global Baharu Daihatsu (DNGA) dengan kerjasama pereka dan jurutera Malaysia dengan Daihatsu Motor Co, Jepun.

ALZA Serba Baharu 2022.
ALZA Serba Baharu 2022.

Melihat reka bentuk luarannya, ia datang dengan gril kemasan baharu krom dan hitam berkilat selain lampu utama LED dengan lampu membelok Sequential.

Ia juga dilengkapi lampu kabus dan lampu belakang LED selain cermin sisi lipatan automatik dengan lampu membelok.

Dimensi keseluruhan juga lebih panjang, lebar dan rendah daripada model generasi pertama dengan padanan rim aloi bersaiz 16 inci dan 15 inci (varian X).

Ruang kabinnya menawarkan gaya lebih elegan dengan papan pemuka dwitona, sistem infotainmen bersaiz sembilan inci dengan enam pembesar suara dan paparan meter bersaiz 7 inci TFT.

PAPAN pemuka dwitona.
PAPAN pemuka dwitona.

Sesuai sebagai MPV keluarga, ia didatangkan dengan tujuh tempat duduk separuh kulit dwitona (varian AV) ciri praktikal dengan lipatan baris kedua 60:40 serta baris ketiga 50:50.

Alza Serba Baharu ini menawarkan ruang kargo daripada 137 liter sehingga 498 liter (baris ketiga dijatuhkan).

Baris ketiga juga membolehkan penumpang dewasa duduk dengan selesa malah sangat sesuai buat kanak-kanak.

SELESA dan mudah laras.
SELESA dan mudah laras.

Selain itu, MPV ini dilengkapi tiga port pengecas USB dan soket kuasa 12V. Roda sterengnya dibaluti kulit dengan butang fungsi audio dan mod termasuk corong penyaman udara di bahagian belakang.

Ia juga dilengkapi brek parkir elektronik dan butang penghidup serta mematikan enjin.

CORONG penyaman udara belakang.
CORONG penyaman udara belakang.

Perodua Alza Serba Baharu dikuasakan dengan enjin 1,496cc, 4 silinder, DOHC EFI dengan dwi VVTi.

Ia mampu menjana 104.6 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 138Nm pada 4,200rpm.

Ia juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power serta kotak gear D-CVT dwimod untuk transmisi tukaran manual gaya baharu.

Sistem keselamatan terbaik juga ditawarkan pada model ini seperti enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), Bantuan Mula Bukit (HSA), Perakam Video Digital Bersepadau (DVR) dan monitor pandangan 360 darjah dan Isofix.

RUANG kargo fleksibel.
RUANG kargo fleksibel.

Ia juga datang dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Perodua menerusi Bantuan Keselamatan Termaju (ASA) 3.0, Bantuan Pemanduan, Bantuan Parkir dan Bantuan Lampu Hadapan.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu kelabu vintage, hitam elegan, merah garnet, perak glittering dan putih ivory.

Alza Serba Baharu ditawarkan menerusi tiga varian iaitu 1.5L X pada harga RM62,500, 1.5L H (RM68,000) dan 1.5L. AV pada harga RM75,500.

Untuk tampil lebih sporty Perodua juga menawarkan aksesori Gear Up.

ELEMEN praktikal.
ELEMEN praktikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:30 AM