ANTARA ahli MER3C ke Sekinchan.
ANTARA ahli MER3C ke Sekinchan.
Oleh Lizam Ridzuan


BAGI menyemarakkan industri pelancongan dan ekonomi setempat, Kelab Ertiga Malaysia (MER3C) yang dianggotai pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Ertiga menganjurkan 'Sekinchan Fun Drive' baru-baru ini.

Hampir 40 pemilik Proton Ertiga menyertai konvoi ini yang bermula di stesen minyak Shell Batu 3, Shah Alam, Selangor sebelum bertolak ke lokasi dengan bantuan Proton Ambassador.

Presiden MER3C Saiful Amri Datuk Md Nor berkata, kelab aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan selain terbabit dalam pelbagai program kebajikan.

"Program tahun ini dimulakan dengan Sekinchan Fun Drive, ia bagi membantu menyemarakkan kembali industri pelancongan selain membantu ekonomi warga setempat.

"Pada masa sama, aktiviti ini juga bertujuan untuk mengumpul dana sebagai bantuan kepada ahli MER3C yang terkesan akibat pandemik dan banjir," katanya.

Antara lokasi dilawati sepanjang Sekinchan Fun Drive ialah ke Bukit Melawati di Kuala Selangor serta Paddy Gallery dan Jerami Ban di Sekinchan.

Selepas lawatan, peserta menikmati makan tengah hari selain aktiviti santai bersama keluarga sebelum pulang ke destinasi masing-masing pada lewat petang.

MER3C mempunyai 800 ahli berdaftar di seluruh negara dan ditubuhkan pada 2016.

Proton Ertiga ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen B yang dikuasakan dengan enjin 1.4 liter VVT.

Ia hasil kerjasama Proton dengan Suzuki dan kali terakhir dikeluarkan ialah pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:45 AM