Lizam Ridzuan


"Tidur di jalanan dan di tepi dewan pameran adalah perkara biasa buat saya demi minat dalam menghasilkan jentera binaan khas (kustom)".

Itu perkongsian Abd Rasid Ismail, 52, pemilik 'Acid Welding' yang menghasilkan kerja kimpalan termasuk motosikal kustom yang sentiasa berjimat demi memastikan dana yang ada boleh digunakan untuk menghasilkan jentera binaan khas terbaik.

Abd Rasid adalah peserta 'Invitational Bike Build Off 2022' acara permotoran tempatan Art Of Speed 2022 yang diadakan baru-baru ini.

HASIL kerja tangan berkualiti tinggi.
HASIL kerja tangan berkualiti tinggi.

Pada acara berkenaan, Abd Rasid menghasilkan sebuah motosikal daripada keluli tahan karat.

Ia adalah penyertaan kali keenam Abd Rasid dan dia sentiasa berusaha mencabar keupayaan diri untuk mencipta sesuatu yang berbeza.

Projek pembinaan motosikal Abd Rasid yang diberi gelaran 'Frontliners' itu dimulakan pada awal 2020 namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan sedikit sebanyak memberi cabaran tersendiri, terutama untuk mendapatkan bahan keluli, gas dan material untuk dibangunkan.

KROM sepenuhnya daripada asal.
KROM sepenuhnya daripada asal.

"Ketika PKP, saya kerap mendegar perkataan 'frontliners', ia menjadi sumber inspirasi dalam menyiapkan jentera ini yang sepenuhnya buatan tangan.

"Selain mendapat idea daripada pelbagai sumber, setiap motosikal kustom yang dihasilkan mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

CIRI unik dengan spring dedaun.
CIRI unik dengan spring dedaun.

Dibantu oleh anaknya, Amirul Azwan, 26, ia bermula dengan lakaran dan menyusun bahan yang ada di kawasan persekitaran rumahnya sebelum kerja membangunkan kerangka bermula.

Enjin pula diambil daripada motosikal Nitro berkuasa 150cc manakala spring dedaun adalah elemen utama pada motosikal ini dan ia juga komponen paling sukar untuk dipasang.

SUSPENSI tunggal serlah keunikan.
SUSPENSI tunggal serlah keunikan.

"Spring dedaun itu perlu diseimbangkan dengan baik sebelum ia boleh dipasang pada kerangka. Tayar dan roda diambil daripada stok tayar simpanan.

"Keluli tahan karat ini dilentur menggunakan tangan. Kos menghasilkan Frontliners pula sekitar RM2,000. Sekiranya saya memiliki dana lebih besar, maka lebih banyak elemen boleh direka," katanya.

UNIK dan cipta kelainan kejuruteraan.
UNIK dan cipta kelainan kejuruteraan.

Menurut Abd Rasid, ada pelanggan yang mahu melakukan modifikasi pada motosikal, namun dia lebih gemar membina sesuatu yang baharu daripada bentuk sedia ada.

Bagi perancangan masa hadapan, Abd Rasid akan terus menyertai acara permotoran dalam mempersembahkan hasil binaannya.

"Saya akan berusaha menghasilkan motosikal binaan khas yang lebih baik," katanya.

RASID bersama jentera kustomnya.
RASID bersama jentera kustomnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:40 AM