PILIHAN warna baharu Honda BR-V.
PILIHAN warna baharu Honda BR-V.
Lizam Ridzuan

MODEL crossover 'Bold Runabout Vehicle' (BR-V) daripada Honda memang sesuai untuk gaya hidup aktif selain keperluan mobiliti keluarga.

Sejak model peningkatan diperkenalkan pada Jun 2020 di negara ini, ia sudah terjual lebih 5,700 unit.

Untuk menambah pilihan, diperkenalkan pula dua warna baharu iaitu 'Passion Red Pearl' dan 'Modern Steel Metallic'.

Warna itu turut diperkenalkan untuk model City Hatchback serta Civic Serba Baharu sebelum ini dan ia menerima maklum balas yang baik daripada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia Hironobu Yoshimura berkata, dua warna itu diperluaskan kepada model Honda BR-V bagi menambah gaya ranggi dan menarik untuk model yang diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada 2016 itu.

RUANG kabin praktikal.
RUANG kabin praktikal.

"Kami yakin, dua pilihan warna ini mampu menarik minat pembeli baharu model BR-V," katanya.

Honda BR-V dilengkapi enjin 1.5L SOHC i-VTEC dengan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) yang mampu menjana kuasa 120PS dan tork 145Nm.

Selain ruang dalaman yang fleksibel, ciri keselesaan model ini turut ditambah dengan 'tweeter' pembesar suara dan untuk varian V, ia lengkap dengan Paparan Audio bersaiz 7 inci serta kerusi dan tombol gear kulit dengan jahitan merah.

Semua varian turut dilengkapi penyaman udara automatik, kemasukan pintar dan butang push start sebagai elemen premium.

Antara kelebihan lain model ini ialah, jarak kelegaan jalannya sekitar 200 milimeter (mm) dan ia membolehkan kenderaan ini melepasi pelbagai laluan bandar atau desa dengan mudah.

Ia juga dilengkapi rim aloi 16 inci dan sistem gantungan hadapan suspensi MacPherson Strut selain Torsion Beam bagi bahagian belakang.

Dua varian ditawarkan iaitu Honda BR-V 1.5L E danV yang dijual pada harga RM86,726 dan RM93,420 (atas jalan tanpa insurans).

RUANG kabin corak ikonik Pepita .
RUANG kabin corak ikonik Pepita .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 6:30 AM