STELVIO 2022.
STELVIO 2022.
Lizam Ridzuan


WALAUPUN penawaran model baharu Alfa Romeo di Malaysia 'sunyi' kerana tiada pengedar rasmi, untuk pasaran Eropah, ia adalah sebaliknya.

Terbaharu, sedan sports Alfa Romeo Giulia dan kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover Stelvio 2022 Baharu, diberi kemasan terkini oleh pengeluarnya.

Tiada perubahan ketara pada rekaan, namun kedua-dua model ini diberi beberapa ciri terbaharu sebagai ciri standard dan keselamatan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Ia termasuk Sistem Bantuan Titik Buta dengan 'intervention' kecemasan, kawalan pelayaran adaptif, amaran keluar lorong, lampu utama pancaran tinggi automatik dan pengesan parkir hadapan dan belakang.

Keselesaan pemandu dan penumpang turut mendapat perhatian pengeluar yang menambah pemanas pada ruang kabin terutama tempat duduk hadapan dan belakang, sistem navigasi, pengecas tanpa wayar dan cermin pandang belakang anti silau.

Ia turut dilengkapi sistem infotainmen dengan paparan skrin 8.8 inci dengan skrin sesentuh atau butang kawalan putaran pada konsol tengah.

PAPAN pemuka crossover Stelvio.
PAPAN pemuka crossover Stelvio.

GIULIA 2022.
GIULIA 2022.

KABIN sedan sport Giulia.
KABIN sedan sport Giulia.

Alfa Romeo Stelvio yang diperkenalkan ke pasaran global pada 2017 dan Giulia (2016) ditawarkan menerusi empat varian iaitu Sprint, Ti, Veloce dan Quadrifoglio.

Roda stereng inspirasi Formula 1, dengan mod pemanduan DNA Alfa dan untuk Quadrifoglio, dengan DNA Alfa Pro dan Mod race.

Untuk model 2022 ini, Giulia dan Stelvio Quadrifoglio dikuasakan enjin 2.9 liter V6 dwi-turbo yang menjana 505 kuasa kuda (hp) dan tork 600Nm.

Ia datang dengan transmisi lapan kelajuan AT8 8HP50 dan 8HP75 RWD bagi Quadrifoglio.

Untuk Sprint, Ti dan Veloce, ia dijana dengan enjin aluminium 2.0 liter suntikan terus pengecas turbo yang menghemburkan 280 hp dan tork 415Nm.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:46 AM