Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Model Portofino yang cukup menyerlahkan gaya dan status pemiliknya dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2018 dengan ciri 2+ GT spider.

Kini, kekal ciri sama dengan kemasan terkini dan tambahan kuasa, Ferrari Portofino M baharu pula diperkenalkan oleh Naza Italia yang juga pengimport dan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia.

M yang membawa maksud 'Modificata' diserlahkan dengan kemasan luaran baharu terutama pada bahagian hadapan.

Ia datang dengan lebih agresif dengan salur aliran udara baharu pada 'wheel arch' yang membantu mengurangkan halangan udara pada kenderaan.

PORTOFINO M dengan ciri diperbaharui.
PORTOFINO M dengan ciri diperbaharui.

Ia juga didatangkan dengan gril hitam bercirikan sentuhan aluminium selain elemen signatur 'scallop' yang menyerlahkan gaya serta ciri aerodinamiknya.

Pada bahagian belakang, dengan sistem ekzos baharu, ia jadi lebih kompak dan diffuser terkini yang terpisah dengan bampar membolehkan pemilik menukarnya kepada gentian karbon.

Rim bersaiz 20 inci melengkapi padanan rekaan luaran dengan corak gaya chiaroscuro pada jejari.

KEMASAN dalaman gaya prestasi dan teknologi.
KEMASAN dalaman gaya prestasi dan teknologi.

Ruang dalaman pula kekal gaya GT bersama kemasan baharu. Ciri Antaramuka Mesin-Manusia (HMI) dengan kluster meter dwi digital TFT serta meter rev analog di tengah antara kemasan yang tersedia pada model ini.

Ia juga dilengkapi sistem multimedia skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci pada papan pemuka dengan bilah aluminium memisahkan bahagian panel meter, corong pendingin udara dan skrin paparan maklumat, khusus untuk penumpang.

Roda stereng F1 pula datang dengan kemasan opsyen gentian karbon.

Ia juga lengkap dengan butang pelbagai fungsi selain mod pemanduan elemen perlumbaan.

KEMASAN bampar baharu.
KEMASAN bampar baharu.

Dua tempat duduk hadapan dibina menggunakan bahan magnesium dengan ciri pemanas tengkuk.

Pada masa sama, elemen 'convertible' dengan 'Retractable Hard Top' (RHT) yang boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 14 saat menambah keunikan model ini.

Jentera ini dikuasakan enjin 3.9 liter V8 dwiturbo yang menjana 620 kuasa kuda (hp), iaitu tambahan 20 hp, dan tork 760Nm serta kotak gear lapan kelajuan dwi-klac F1 baharu menggantikan tujuh kelajuan.

Pengesan kelajuan juga ditambah pada pengecas turbo untuk mengukur turbin bagi putaran setiap minit yang dipertingkat kepada 5,000 rpm.

MOD pemanduan baharu.
MOD pemanduan baharu.

Modul klac baru 20 peratus lebih kecil namun menyediakan tujahan lebih 35 peratus tork sehingga 1,200 Nm setiap kali pertukaran gear dengan perisian ECU transmisi lebih berkuasa.

Lima mod pemanduan ditawarkan pada Portofino M dengan Race sebagai yang terbaharu selain Wet, Comfort, Sport dan ESC-Off.

Sistem pengendalian dinamik dengan Kawalan Gelinciran Sisi (SSC) dengan ciri bersepadu pada E-Diff, F1-TCS, SCM-E Frs dan Ferrari Dynamic Enhancer (FDE) untuk larasan tekanan brek pada angkup keempat-empat roda.

Selain itu, ia juga didatangkan sengan ciri keselamatan terbaharu sebagai pilihan menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS).

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga bermula RM998,000 (tidak termasuk cukai, opsyen binaan khas dan insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 7:00 AM