CIRI prestasi Mercedes-AMG
CIRI prestasi Mercedes-AMG
Lizam Ridzuan


Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini memperkenalkan model premium prestasi Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ Baharu dengan kemasan dan prestasi dipertingkatkan.

Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Michael Jopp berkata, model ini adalah tawaran terkini untuk barisan model Mercedes-Benz Dream Car di negara ini dilengkapi teknologi terbaharu dan keselesaan terbaik.

"Selain kepuasan pemanduan dipertingkatkan, ia juga didatangkan dengan kokpit E-Class tiga dimensi serta sistem infotainmen MBUX baharu dengan fungsi dan paparan khusus-AMG sebagai teknologi termaju pada jentera ini," katanya.

Rekaan luarannya mengekalkan gaya ikonik E-Class dengan lampu utama LED yang direka semula serta gril menegak AMG selain liang kemasukan udara lebih agresif.

Lampu belakang LED baharu juga diperkenalkan dengan bahagian but dan apron belakang bercirikan fungsi 'difusser' untuk aliran udara lebih baik.

Elemen aerodinamik pada rim aloi bersaiz 20 inci dengan lima jejari juga boleh dilihat melalui rekaan bahagian sisi aero rim yang lebih lebar.

Mercedes-AMG E 63 S ini dijana enjin 4.9 liter V8 bi-turbo yang menghemburkan 612 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum sehingga 850Nm.

Jentera ini juga mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 300km/j.

REKAAN elemen aerodinamik.
REKAAN elemen aerodinamik.

Ia cukup berkuasa untuk enjin E-Class.

Ia juga datang dengan kotak gear 9 kelajuan AMG Speedshift malah lebih responsif ketika memecut.

Enam mod pemanduan ditawarkan iaitu Comfort, Sport, Sport+, Individual, Race dan Slippery.

Roda stereng AMG Performance pula dilengkapi butang sentuhan bersepadu dengan ciri pengesan 'hands-on' yang akan mengaktifkan Bantuan Brek Kecemasan jika pemandu didapati tidak memegang stereng untuk tempoh kiraan masa tertentu.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ Baharu dijual pada harga bermula RM1,118,888 (atas jalan tanpa insurans).

KABIN dengan paparan skrin luas.
KABIN dengan paparan skrin luas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 7:58 PM