Lizam Ridzuan


SERING menjadi tumpuan kerana rekaannya yang unik serta vintaj, malah tidak kurang juga yang mahu mengabadikan kenangan dengan merakam gambar bersama.

Itu penangan model Oldsmobile Regency 98 keluaran 1972 milik Nazam Mohd Iqbal Khan, 23, dari Selayang, Selangor.

Kereta buatan Amerika Syarikat (AS) itu pada asalnya adalah milik bapanya yang dibeli pada 2000.

Model ini dikatakan dari Australia kerana ia datang dengan pemanduan sebelah kanan dan bapanya adalah pemilik ketiga.

Namun, akibat tidak bergerak dalam tempoh lama, kereta ini mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian kerangkanya yang berkarat.

"Saya memulakan kerja restorasi sejak 2017 dan ia memerlukan komitmen dan masa selain kos yang agak tinggi.

"Namun, oleh kerana ia unik dan satu-satunya sahaja yang ada di negara ini, saya rasa semua itu memang berbaloi," katanya.

Enjin asal 7.5 liter rocket V8 sudah tidak boleh digunakan lagi dan ditukar kepada unit Toyota 1JZ dengan kapasiti 2.5 liter enam silinder sebaris 24 injap DOHC, pacuan roda belakang yang menjana sekitar 170PS dan tork 234Nm.

 OLDSMOBILE Regency 98 keluaran 1972.
OLDSMOBILE Regency 98 keluaran 1972.

CIRI vintaj terserlah.
CIRI vintaj terserlah.

Kerja baik pulih kerangka dilakukan di sebuah bengkel di Selayang yang mengambil masa setahun kerana perlukan ketelitian tinggi selain memastikan hasil yang memuaskan.

Tiada modifikasi yang dilakukan pada kenderaan ini kerana dia mahukan ia kekal seperti asal dan hanya rim aloi bersaiz 16 inci yang bukan standard kerana ia sudah ada ketika dibeli.

Namun, Nazam ada perancangan untuk menukarnya kepada versi tulen bersaiz 15 inci dengan kos sekitar RM2,600 yang dipesan daripada penjual di AS.

"Kos baik pulih pada sekitar RM40,000 setakat ini kerana ada komponen dan alat ganti yang perlu dipesan dari luar negara seperti tangki bahan api," katanya.

Kini Nazam menumpukan pada ruang dalaman dengan mengekalkan kemasan asal kulit dan kayu, namun ia akan diperbaharui pada pada bahagian pelapik lantai, bumbung dan sistem audio yang dijangka menelan belanja sekitar RM10,000.

"Buat masa ini, secara asasnya kereta Oldsmobile hampir 90 peratus siap dengan sedikit lagi kerja kemasan kabin bagi mengembalikan wajahnya untuk kelihatan lebih segar umpama baharu," katanya.

Tambahnya, oleh kerana keunikan kereta itu, maka ia selalu menjadi pilihan buat syarikat penerbitan filem, pengiklanan dan banyak lagi untuk menyewanya bagi tujuan penggambaran.

Selain Oldsmobile Regency 98, Nazam juga memiliki Mini Mock 1968, Ford Escort MK1 1970 dan Volvo 122S 1965 sebagai koleksi peribadi dan merancang untuk memiliki model Mini klasik dalam tempoh terdekat.

RUANG dalaman terpelihara.
RUANG dalaman terpelihara.

 ENJIN Toyota 1JZ.
ENJIN Toyota 1JZ.

SEDAN bersaiz penuh enam penumpang.
SEDAN bersaiz penuh enam penumpang.

Mengenai Oldsmobile, ia ialah syarikat yang berpangkalan di AS dan ditubuhkan oleh Ransom E Olds pada 1897 sebagai Olds Motor Vehicle Company yang mengeluarkan lebih 35 juta kenderaan.

Pada 1908, ia bernaung di bawah General Motors yang turut memiliki jenama seperti Chevrolet, Pontiac, Buick dan Cadillac.

Oleh kerana persaingan jenama import premium dan penurunan jualan sejak 1990, Oldsmobile akhirnya terkubur pada 2004.

Ia adalah jenama automotif tertua di AS dan salah satu yang paling lama wujud di dunia.

Oldsmobile Regency 98 milik Nazam ini ialah generasi ke-9 (1971 hingga 1976) daripada 12 yang terdapat di pasaran.

Selain varian empat pintu hardtop, ia juga ditawarkan dalam versi dua pintu dan coupe ketika zamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 6:51 AM