ROCKS-e untuk mobilti remaja.
ROCKS-e untuk mobilti remaja.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEMEMANGNYA kehidupan mobiliti di bandar raya kosmopolitan memerlukan kepantasan dan pada masa sama, lancar untuk mencelah dalam kesibukan.

Untuk itu, jenama kenderaan Opel menawarkan kenderaan Mobiliti Urban Lestari (SUM), Rocks-e yang dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

Model permulaan untuk segmen kenderaan elektrik (EV) ini bersaiz kompak. Ia sepanjang 2.41 meter, 1.39 meter lebar dan seberat 471 kilogram (kg).

Ia hanya mengambil masa 3.5 jam untuk pengecasan penuh bateri 5.5kWh malah ia boleh dilakukan di mana-mana soket pengecasan rumah.

Menerusi 'World harmonized Light-duty vehicles Test Procedure' (WLTP), ia mampu bergerak sejauh 75 kilometer (km) dengan kapasiti bateri penuh serta dengan kelajuan sehingga 45km/j.

Selain mesra alam, bunyi dan emisi sifar, kenderaan ini memiliki roda bersaiz 14 inci dengan radius pusingan yang kecil iaitu sekitar 7.20 meter, sesuai untuk urusan parkir atau melalui ruang yang sempit.

Meskipun begitu, EV ini dilengkapi elemen menarik seperti lampu utama dan membelok LED dan panel hadapan serta belakang seakan-akan sama.

Pintu kedua-dua bahagian boleh dibuka dengan luas, namun diberi sentuhan gaya unik.

CIRI kompak dan unik.
CIRI kompak dan unik.

RUANG kabin ringkas.
RUANG kabin ringkas.

KUASA elektrik sepenuhnya.
KUASA elektrik sepenuhnya.

Untuk penumpang, sudut bukaannya adalah seperti biasa, namun untuk pemandu, ia dibuka dari arah bertentangan.

Ruang kabin dengan dua tempat duduk serta ruang kaki dan kepala yang selesa sehingga ketinggian 1.9 meter.

Meskipun kompak, Rocks-e menawarkan ruang simpanan dengan kapasiti sehingga 63 liter pada bahagian kaki penumpang termasuk cangkuk untuk beg beli-belah bersaiz XXL.

Ruang dalamannya juga penuh dengan elemen muda dan aktif dengan ciri asas seperti paparan meter kelajuan, mod pemanduan (Drive, Neutral, Mengundur), tahap pengecasan bateri, penunjuk baki kuasa bateri dan perbatuan.

Menambah ciri kemasan praktikal, terdapat ruang untuk meletakkan telefon pintar di konsol tengah hadapan serta aplikasi myOpel untuk maklumat tambahan kenderaan ini.

Ia datang dengan cermin dan tingkap besar selain bumbung kaca panorama.

Sasaran kenderaan ini adalah untuk memenuhi keperluan mobiliti remaja sebagai pengangkutan ke sekolah atau ke tempat belajar.

Ini kerana di Jerman, ia boleh dipandu oleh golongan muda daripada usia 15 tahun yang mempunyai lesen memandu AM (moped dan skuter).

Tiga varian Rocks-e ditawarkan iaitu Opel Rocks-e, Opel Rocks-e 'Klub' dan Opel Rocks-e 'TeKno'.

Tempahan model ini dibuka pada hujung tahun ini untuk pasaran Jerman dan seterusnya untuk negara lain pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:00 AM