BERKEUPAYAAN menempuh laluan lasak.
BERKEUPAYAAN menempuh laluan lasak.
Lizam Ridzuan


MODEL Hummer adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz penuh diinspirasikan daripada gaya kenderaan ringan tentera Amerika dengan bentuk yang tegap dan lebar.

Ia kembali diperkenalkan ke pasaran pada Oktober 2020 sebagai kenderaan elektrik (EV) menerusi model GM Hummer EV Pickup iaitu trak pikap elektrik dan baru-baru ini didedahkan pula model GMC Hummer EV SUV.

Rekaan asas yang sama dengan pikap dari bahagian hadapan sehingga ke pintu belakang dan yang membezakannya ialah ruang kargo tertutup dilengkapi dengan pintu automatik dan tayar simpanan padanya.

Untuk model dengan Pilihan Edition 1 yang dipadankan rim 22 inci dan untuk Pakej Extreme Off-Road pula dengan 18 inci beserta tayar bersaiz 35 inci Goodyear Wrangler MT.

Ia turut menawarkan warna luaran Moonshot Green Matte eksklusif selain tujuh warna lain dan untuk ruang dalaman pilihan tema warna Lunar Shadow sebagai elemen ranggi.

Untuk bahagian dalaman kenderaan dengan kapasiti lima penumpang dan ruang kargo luas serta jika kerusi belakang dijatuhkan ia menawarkan sehingga 1,340 liter.

Sistem infotainmen bersaiz 13.4 inci dan 12.3 inci untuk paparan meter pemandu dengan pelbagai fungsi dan maklumat termasuk ciri pemetaan dengan aplikasi myGMC.

Untuk keselamatan tambahan kepada pemanduan ia juga dilengkapi sistem Pandangan Keseluruhan Definasi Tinggi (HD) 14 kamera dan pilihan UltraVision sehingga 17 kamera termasuk pada bahagian bawah kenderaan.

Model Hummer EV dilengkapi dengan bumbung Transparent Sky Panels yang boleh ditanggalkan untuk pencahayaan dan pemandangan panoramik.

HUMMER EV kini SUV elektrik.
HUMMER EV kini SUV elektrik.

Untuk bergerak, Varian Edition 1 dan EV3X menggunakan teknologi sistem e4WD tiga motor elektrik yang menghasilkan sehingga 830 kuasa kuda (hp) dan tork 15,592Nm.

Ia mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam tempoh 3.5 saat dan fungsi Watts To Freedom untuk ciri pemanduan prestasi dengan emisi sifar.

Dua lagi varian iaitu EV2 dan EV2X dengan dua motor elektrik menjana 625 hp.

REKAAN gaya lasak dan premium.
REKAAN gaya lasak dan premium.

Untuk pengecasan penuh menerusi 20 modul bateri dua tingkat berkembar Ultium membolehkan ia bergerak sejauh 480 km untuk versi Edition 1.

Ia juga boleh menggunakan pengecas pantas awam aliran terus (DC) 800 voltan dengan bateri janaan kuasa 300 kW.

Jentera ini dibina di atas platform GM BT1 dengan struktur badan dan bateri 'interdependent' unik bagi dua fungsi penting iaitu untuk kekukuhan dan melindungi pek bateri terutama untuk menempuhi laluan lasak.

PAPAN pemuka teknologi tinggi.
PAPAN pemuka teknologi tinggi.

Ciri lain dengan Super Cruise menawarkan pemanduan bebas tangan di lebih 322,000 km jalan raya yang terpilih termasuk ciri menukar lorong dan memintas kenderaan juga antara teknologi yang termaju disediakan.

GMC Hummer EV SUV akan dijual bermula 2023 dan 2024 menerusi empat varian pada harga sekitar AS$79,995 (RM338,258) sehingga AS$105,595 (RM446,508).

Untuk model varian Hummer EV Edition 1, ia sudah habis ditempah sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:00 AM