Lizam Ridzuan

Segmen motosikal berkuasa tinggi daripada BMW Motorrad sering digambarkan dengan pilihan model untuk pengembaraan, penjelajahan dan prestasi.

Namun, sejak tahun lalu, mereka sudah mula menawarkan segmen cruiser mewah menerusi model BMW R 18 Serba Baharu.

Tampil unik dengan reka bentuk menarik yang menggabungkan elemen moden dan vintaj diinspirasikan daripada jentera klasik BMW R 5.

Untuk menambah rangkaian varian sedia ada BMW Motorrad memperkenalkan BMW R 18 B dan R 18 Transcontinental Baharu yang juga model untuk tahun 2022 baru-baru ini.

RANGKAIAN varian R 18 2022.
RANGKAIAN varian R 18 2022.

Ia adalah gaya 'Grand American Tourer' yang tampil lebih mewah dan mantap untuk menempuh laluan panjang seperti lebuh raya di negara Amerika Syarikat (AS).

Model segmen motosikal sebegini sememangnya popular di sana dan BMW menampilkan ciri-ciri sama dan mengekalkan asas yang terdapat pada model R 18 sebelum ini yang ditawarkan dengan pilihan ciri dan kemasan baharu.

JENTERA cruiser baharu BMW R 18.
JENTERA cruiser baharu BMW R 18.

Untuk kestabilan dan pengendalian ia direka menggunakan kerangka tiub keluli 'loop' berkembar dan tangki bahan api 24 liter menyerlahkan lagi gaya.

Suspensi hadapan dengan fork teleskopik dan cantilever strut sambungan terus untuk memastikan kawalan roda lebih baik dan selesa.

Strut Suspensi belakang dengan peredam 'travel-dependent' untuk menampung beban secara automatik melalui pengesan ketinggian menggunakan unit hidraulik.

METER TFT bersaiz 10.25 inci.
METER TFT bersaiz 10.25 inci.

Lengan ayun seperti model legenda R 5, dihasilkan dengan rekaan yang seakan-akan sama dengan kerangka termasuk pemacu gandar belakang disambungkan 'bolt'.

Model cruiser ini dijana dengan enjin 1,802 cc dua silinder, empat lejang sejukan udara dan minyak yang menghamburkan 91 kuasa kuda (hp) pada 4,750rpm dan tork 158Nm pada 3,000rpm.

Untuk kelancaran jentera ini dipacu shaft dengan transmisi 6 kelajuan klac kering plat tunggal serta mampu mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 180 kilometer/sejam (km/j).

PEMBESAR suara jenama premium.
PEMBESAR suara jenama premium.

Untuk Jentera BMW R 18 Transcontinental yang dikeluarkan khusus dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh terutama jika membawa pembonceng dengan ruang simpanan yang terdapat pada bahagian belakang (48 liter/47 liter dengan opsyen audio) dan sisi (27 liter/ 26.5 dengan opsyen audio).

Untuk R 18 B ditawarkan untuk gaya tunggangan 'Bagger' dan penjelajahan kepada mereka yang mahukan perjalanan lebih santai dengan ruang simpanan pada bahagian sisi motosikal.

PETI simpanan barangan bersaiz 48 liter.
PETI simpanan barangan bersaiz 48 liter.

Selain itu kedua-duanya dipadankan dengan cermin pelindung angin (berbeza ketinggian) dan kokpit baharu dengan empat meter bulat analog dan digital TFT baru bersaiz 10.25 inci dan perkataan ikonik 'Berlin Built'.

Ia membolehkan ketersambungan kepada telefon pintar menerusi aplikasi BMW Motorrad Connected untuk fungsi navigasi, panggilan telefon, radio atau media lain dimainkan.

R 18 Transcontinental juga dengan tambahan pada lampu hadapan, besi pelindung enjin, pemanas pelana dan kemasan krom pada bahagian enjin.

R18 B pula dengan pelana lebih nipis, tanpa kotak simpanan atas dan kemasan hitam kusam pada bahagian enjin antara yang membezakan kedua model ini.

ENJIN boxer 1,800 cc.
ENJIN boxer 1,800 cc.

Sesuai jentera untuk perjalanan jauh, ia dilengkapi dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Roll dan Rock sebagai ciri standard dengan Kawalan Kestabilan Automatik, Kawalan Tork 'Drag' Enjin (MSR) dan tambahan kepada opsyen dengan bantuan mengundur dan fungi Kawalan Permulaan Bukit juga disediakan.

Sistem bunyi Marshall adalah ciri standard buat kedua-dua model ini dengan empat pembesar suara dan dua subwoofers dengan 280 watt bagi akustik terbaik. Ia juga boleh ditambah mengikut pilihan pakej yang disediakan.

Limpahan teknologi juga dikekalkan seperti Kawalan Pelayaran dinamik (DCC) dan Kawalan Pelayaran Aktif membolehkan tunggangan secara automatik pada kelajuan ditetapkan penunggang.

Posisi menunggang dua model baharu ini juga mengekalkan gaya kasual dengan tempat meletak kaki 'mid-mounted footpeg' di belakang silinder adalah gaya tipikal jentera BMW Motorrad.

Seperti model R 18 lain, kedua-dua model baharu ini juga dengan pilihan First Edition iaitu kemasan krom pada motosikal selain jahitan kualiti tertinggi pada pelana dan perkataan 'First Edition' pada motosikal.

Melalui Option 719 Design Package Aero ia menawarkan tambahan kemasan aksesori dan warna Galaxy Dust Metallic ciri eksklusif.

Harga jualan di Amerika Syarikat model R 18 B bermula pada AS$21,495 (sekitar RM90,816) dan R 18 Transcontinental pada AS$24,995 (sekitar RM105,600) yang sudah mula memasuki pasaran pada Ogos ini.

Ia juga bakal diperkenalkan untuk pasaran di Malaysia tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:55 AM