MODEL skala buat pengumpul dan peminat Ford GT40.
MODEL skala buat pengumpul dan peminat Ford GT40.
Lizam Ridzuan


JIKA tidak dapat memiliki model sebenar, peminat kenderaan ini sudah pasti mahu menjadikan ia dalam 'dimensi' yang lain untuk disimpan sebagai kenangan.

Untuk itu pembuat kenderaan model skala, Amalgam mendedahkan penghasilan model Ford GT40 dengan skala 1:18 yang dinantikan sekian lama, namun dikeluarkan dalam jumlah terhad sebanyak 199 unit sahaja.

Melalui hasil kajian dan pembangunan selama dua tahun dengan kerjasama bahagian Ford Archive dan Heritage serta Gulf Oil International maka terhasil model ini dengan kepanjangan saiz 51 sentimeter (sm).

Ia mempunyai sejarah tersendiri sebagai model prestasi Ford paling popular yang menjuarai perlumbaan Le Mans pada 1969 turut memecah dominasi Ferrari ketika itu.

Pengasas Amalgam, Sandy Copeman berkata, model ini antara yang melalui proses kajian dan penghasilan paling terperinci pernah dihasilkan oleh jenama itu menerusi asas casis 1075.

"Ia adalah usaha tanpa mengira berapa sahaja kos yang diperlukan dalam menjadikannya penuh dengan ciri ketulenan dengan model asal,"

MODEL dengan sejarah kejuaraan perlumbaan Le Mans 24 jam.
MODEL dengan sejarah kejuaraan perlumbaan Le Mans 24 jam.

KETELITIAN mengikut rajah dan komponen model asal.
KETELITIAN mengikut rajah dan komponen model asal.

"Kami merujuk kepada gambar dan dokumen simpanan pihak berkaitan untuk memastikan ia menjadi replika sebenar yang memenangi perlumbaan pada 1969 itu," katanya.

Tambahnya lagi, model ini mempunyai ribuan komponen dan setiap satu diganti dan dihasilkan dengan sempurna melalui imbasan data digital daripada ribuan gambar yang diperolehi.

Model contoh yang dihasilkan ini juga diluluskan oleh Ford untuk penghasilan pertama yang mana Amalgam juga sudah membuka pesanan dengan pelanggan perlu membayar deposit penuh bagi memastikan mendapat model ini kerana permintaan terhadapnya agak tinggi.

Sebagai menghargai pelanggan setianya, 50 pembeli pertama bakal menerima gambar-gambar perlumbaan tahun 1969 itu yang diambil oleh jurugambar terkemuka dari Jerman, Rainer Schlegelmilch yang dicetak di atas kertas Giclee bersaiz 30x45sm.

GABUNGAN kerja tangan dan mesin CNC.
GABUNGAN kerja tangan dan mesin CNC.

DIBINA dengan material berkualiti.
DIBINA dengan material berkualiti.

Model Ford GT40 nombor 6 ini dipandu oleh Jacky Ickx dan Jackie Oliver dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans yang mana edisi sebelum itu turut dimenangi menerusi Pedro Rodriguez dan Lucien Bianchi.

"Casis 1075 adalah antara yang terpenting dalam sejarah Ford selain dengan reka bentuk yang menakjubkan ia juga hadir dengan corak grafik pasukan yang ikonik," katanya.

Amalgam ditubuhkan di United Kingdom (UK) pada 1986 dengan menghasilkan model skala seni bina dan seterusnya skala replika kenderaan berkualiti tinggi sejak 1995. Ia dihasilkan dengan menggabungkan perisian dan alatan dengan teknologi termaju serta kemahiran kerja tangan untuk ketepatan setiap model kereta yang dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 6:44 AM