KEMPEN ‘PetronMyKasih Jom Derma’.
KEMPEN ‘PetronMyKasih Jom Derma’.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


SEKATAN pergerakan penuh (SPP) yang diumumkan untuk tempoh dua minggu dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 pasti memberi kesan kepada banyak pihak.

Untuk itu, bagi membantu golongan terkesan, Petron Malaysia mengambil inisiatif bekerjasama dengan Yayasan MyKasih menerusi program 'PetronMyKasih Jom Derma'.

Ia membolehkan ahli pemegang kad Petron Miles (PMiles) menderma mata ganjaran mereka untuk memberi manfaat kepada golongan memerlukan.

Bermula 7 Mei hingga 31 Ogos ini, setiap mata ganjaran PMiles yang disumbangkan akan ditukar kepada nilai mata wang dan diserahkan kepada yayasan itu.

Ia kemudian akan disalurkan kepada golongan B40 untuk membeli barangan keperluan di lebih 250 rangkaian kedai runcit termasuk termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart dan TF Value Mart.

Pelanggan boleh menyumbang melalui tukaran mata PMiles dengan setiap 500 mata akan disumbangkan menjadi RM5 dan 1,000 mata untuk RM10.

Ia boleh dilakukan sebanyak yang pelanggan mahukan selagi jumlah mata masih ada.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia Choong Kum Choy berkata, tujuan utama program ini adalah untuk membantu komuniti serta memudahkan kesukaran yang dihadapi oleh keluarga B40.

"Bersama Yayasan MyKasih, kami menyediakan peluang kepada pelanggan untuk turut sama membantu dengan menderma mata ganjaran PMiles mereka,

"Kepada mereka yang memberi sumbangan, resit pengecualian cukai juga akan dikeluarkan bagi setiap sumbangan oleh MyKasih," katanya.

Yayasan MyKasih adalah sebuah pertubuhan amal yang diluluskan oleh kerajaan dan sejak penubuhannya pada 2009, ia menyalurkan sumbangan bernilai RM280 juta kepada lebih 300,000 isi rumah dan pelajar berpendapatan rendah di seluruh negara.

Keberkesanan program MyKasih ini dapat dicapai melalui penggunaan sistem tanpa tunai dalam penyaluran dana.

Ia menggunakan ciri keselamatan cip MyKad yang membolehkan dana sumbangan disalurkan dengan cara yang selamat dan terus kepada penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:44 AM