ELEGAN dan sporty ciri aerodinamik.
ELEGAN dan sporty ciri aerodinamik.
Lizam Ridzuan


SELAIN selesa untuk perjalanan jauh, model BMW 630i GT M Sport diselitkan dengan elemen sporty dan prestasi.

BMW 630i GT M Sport adalah taruhan terbaharu BMW Malaysia di pasaran tempatan yang ditawarkan melalui versi pemasangan tempatan (CKD).

Ciri terbaharu yang diperkenalkan meletakkannya dalam segmen 'grand tourer' kelas tersendiri, sesuai buat perjalanan penuh mewah.

Antara pembaharuannya ialah lampu utama yang direka semula, gril 'ginjal' lebih besar, bampar baharu dan lampu hadapan LED dengan rekaan yang moden.

Ia juga datang dengan BMW Laserlight berserta bantuan pancaran tinggi dan LED Matrix.

Untuk kemantapan rekaan luaran, ia didatangkan dengan rim aloi 20 inci gaya jejari Bintang 817 M Bicolour, angkup brek dengan warna biru dan logo 'M'.

Bahagian belakangnya datang dengan ciri bampar baharu, diffuser dan dua eksoz dengan bentuk trapezoidal, juga 'spoiler' belakang aktif pada kelajuan 120 kilometer/sejam (km/j).

BAHAGIAN belakang dengan ekzos berkembar dan spoiler aktif.
BAHAGIAN belakang dengan ekzos berkembar dan spoiler aktif.

Untuk larasan manual, ia boleh dilakukan melalui konsol tengah.

BMW 630i GT M Sport dikuasakan dengan enjin 1,998cc TwinPower Turbo empat silinder selari petrol yang menjana 258 kuasa kuda (hp) dan tork 400Nm dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Untuk ruang dalaman, ia luas dan selesa dengan kerusi yang ditinggikan lima sentimeter (sm), kemasan balutan kulit Dakota, material bumbung antrasit dan 'fine-wood ash trunkwood' serta krom.

Untuk pemandu, ia lengkap dengan paparan instrumen digital dengan Paparan Kawalan bersaiz 12.3 inci, butang kawalan hitam berkilat pada konsol tengah dan panel alatan Sensatec.

Kerusi sports untuk pemandu dan penumpang hadapan, roda stereng kulit M dan paparan head-up untuk pemandu lebih fokus dalam pemanduan menyerlahkan lagi model ini.

Keselesaan tambahan dapat dirasai melalui penyaman udara empat zon, kerusi belakang untuk tiga penumpang selesa, ruang kaki luas, pelindung matahari elektrik pada cermin belakang dan manual pada sisi belakang.

Bumbung panorama pula menawarkan cahaya lebih menarik selain 16 pembesar suara Harmon Kardon untuk kualiti akustik.

RUANG kabin ciri teknologi termaju.
RUANG kabin ciri teknologi termaju.

Ciri keselamatan terbaik turut ditawarkan seperti Bantuan Pemandu, Bantuan Parkir Tambahan, Kawalan Pelayaran Aktif dengan fungsi mula dan henti.

Ia juga datang dengan sistem digital BMW Live Cockpit Professional dengan ketersambungan 4G dan pelbagai ciri lain seperti Perisian Kawalan Jauh Dipertingkatkan selain sistem navigasi yang sentiasa dikemaskini.

Menerusi Bantuan Peribadi Pintar BMW dan Kawalan Gerak Badan BMW, ia membolehkan fungsi-fungsi dalaman diaktifkan hanya dengan gerakan tangan.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Bernina Grey Amber Effect, Mineral White, Carbon Black dan Sophisto Grey Brilliant Effect.

Untuk ruang dalaman, terdapat pilihan sama ada rona Dakota Black atau kulit Dakota Cognac.

BMW 630i GT M Sport dijual pada harga RM417,659 (atas jalan tanpa insurans tanpa cukai jualan) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan program servis berjadual percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:00 AM