KONSEP penghasilan Ghibli Hybrid Love Audacious.
KONSEP penghasilan Ghibli Hybrid Love Audacious.
Lizam Ridzuan


GABUNGAN ikon dua benua berbeza adalah inspirasi terkini buat jenama kenderaan mewah Maserati dari Itali yang tampil dengan model edisi khas unik.

Model 'Ghibli Hybrid Love Audacious' dikeluarkan melalui usaha sama jenama fesyen 'streetwear' dari China, 'CANOTWAIT' yang diasaskan oleh selebriti negara itu, William Chan.

Model ini terhasil melalui program binaan khas Maserati Fuoriserie yang membolehkan mereka memenuhi pilihan kemasan yang pelanggan mahukan.

Ia berkonsepkan 'break the rules' dalam menawarkan sebuah model yang bukan sahaja unik malah dengan sentuhan kreativiti tanpa batasan daripada pemiliknya.

Seiring dengan itu, pengumuman model itu dibuat pada 20 Mei lalu dan ia (nombor 520) bermaksud 'aku cinta padamu'.

Malah proses penghasilan kenderaan ini bermula daripada konsep sehingga kepada penghasilannya dipaparkan ketika pelancarannya di butik pop-up di Shanghai.

RIM Teseo 20 inci Dark Miron.
RIM Teseo 20 inci Dark Miron.

Dengan warna luaran baharu Digital Aurora, ia hasil daripada konsep jenama fesyen itu sendiri.

Ia mendapat inspirasi daripada matahari terbit dan cahaya magis aurora yang diadun dengan ungu serta rona kebiruan.

Penghasilan warna unik itu dibuat menerusi semburan tiga lapisan.

LOGO khas pada sisi.
LOGO khas pada sisi.

Untuk melengkapi gaya luaran, Ghibli Hybrid Love Audacious datang dengan rim aloi Teseo 20 inci Dark Miron dan logo khas CANOTWAIT untuk tampil eksklusif.

Cuma lapan unit model Ghibli Hybrid Love Audacious yang ditawarkan dan ia hanya untuk pasaran China.

Ghibli Hybrid dilancarkan pada Julai 2020 dan ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder dengan eBooster supercas elektrik 48 voltan.

TAMPIL warna unik khusus untuk model ini.
TAMPIL warna unik khusus untuk model ini.

Ia menjana kuasa 330PS dan tork 450Nm serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 255 kilometer/sejam (km/j).

Ia dilengkapi pacuan roda belakang (RWD), ia mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 5.7 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 7:01 AM