JENTERA eksklusif edisi khas Ferrari.
JENTERA eksklusif edisi khas Ferrari.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Ferrari 812 Competizione, edisi terhad siri istimewa terbaharu yang dibangunkan daripada model 812 Superfast, diperkenalkan baru-baru ini.

Versi Targa (bumbung separuh terbuka) iaitu 812 Competizione A juga dipertontonkan kepada umum dan menambah ciri eksklusif pada model ini.

Kedua-duanya dijana dengan enjin 6.5 liter V12 naturally-aspirated yang mampu menghamburkan kuasa 818 kuasa kuda (hp) pada 9,250rpm dan tork 692Nm pada 7,000rpm.

Ia dijana dengan transmisi 7 kelajuan F1 DCT dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 340 kilometer/sejam (km/j) dan memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.85 saat.

Beberapa pembaharuan dilakukan pada enjin. Dengan mekanisme injap pemasaan dan sistem ekzos baharu, ia menjadikan model ini paling tinggi kuasanya dalam kalangan mana-mana Ferrari ICE.

CIRI aerodinamik maksimum.
CIRI aerodinamik maksimum.

Peningkatan tenaga enjin untuk kedua-dua model 812 Competizione sehingga 'revs' maksimum 9,500rpm untuk pecutan serta limpahan kuasa tanpa batasan adalah luar daripada kebiasaan dalam segmen enjin V12.

Untuk rekaannya, ia tampil dengan sedikit perbezaan karakter daripada 812 Superfast seperti bonet dengan jalur gentian karbon melintang. Ia menjadikan kereta ini seakan lebih kompak.

Untuk bahagian belakang, cermin ditutup sepenuhnya dengan tiga elemen profil yang berfungsi seakan generator vortex untuk fungsi aerodinamik terbaik.

Ia membolehkan tekanan pada gandar belakang dialirkan untuk 'downforce' lebih baik pada kenderaan ini, terutama pada kelajuan lebih tinggi.

PALING berkuasa untuk segmen enjin V12.
PALING berkuasa untuk segmen enjin V12.

Untuk ruangan dalaman, ia banyak mengambil inspirasi yang terdapat pada model 812 Superfast seperti pada papan pemuka dan panel pintu namun direka semula untuk lebih ringan serta tampil dengan tema H-gate untuk kokpit lebih sporty, moden dan penuh gaya perlumbaan.

Kenderaan ini sememangnya direka khusus untuk kepantasan. Aspek berat banyak memainkan peranan.

Untuk kekal ringan, gentian karbon dipilih sebagai material utama selain pemilihan fabrik untuk kedap bunyi terbaik.

Ciri lain ialah, jentera eksklusif ini hanya seberat 1,487 kilogram dan dipadankan dengan rim aloi bersaiz 20 inci, bunyi enjin dengan ciri Gasoline Particulate Filter (GPF) dan paip ekzos baru.

RUANG kabin elemen prestasi.
RUANG kabin elemen prestasi.

812 Competizione dan 812 Competizione A disasarkan untuk pengumpul dan peminat eksklusif kereta Ferrari yang fokus kepada prestasi pemanduan maksimum.

Sesuai untuk jalanan dan litar, ia menawarkan kuasa dan kawalan pada pelbagai kelajuan dengan ciri yang ditawarkan termasuk stereng empat roda 'independent' untuk kecekapan dan ketepatan ketika mengambil selekoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:00 AM