Lizam Ridzuan


PILIHAN kenderaan pelbagai guna (MPV) kini bukan sekadar membawa lebih penumpang, tetapi juga terarah kepada keselesaan dan prestij.

Antara yang paling mewah ditawarkan ialah Lexus LM 350 yang julung kali diperkenalkan di bawah jenama ini, khusus buat golongan korporat moden.

Vroom berpeluang ke sesi pratonton media untuk model itu yang diadakan baru-baru ini bagi merasai dan melihat dengan lebih dekat ciri-ciri yang terdapat padanya.

Meskipun diasaskan daripada platform yang sama dengan model Toyota Alphard, secara keseluruhan ia agak berbeza daripada beberapa aspek.

Kita mulakan dengan rekaan luaran dengan gril hadapan 'spindle'. Ia ciri signatur Lexus, ia juga adalah kehalusan 'omotenashi' yang menjadi teras rekaan jenama ini.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan tiga pancaran ultra kompak projektor LED dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L.

Lampu belakangnya pula terhasil melalui kombinasi bentuk L. Bampar dengan garis krom melintang pula menyerlahkan gaya.

Bukan itu saja malah pusat gravitinya lebih rendah seterusnya memberi kestabilan tambahan kepada kenderaan.

Selain dengan perincian krom pada beberapa bahagian luaran, ia juga dipadankan dengan rim aloi 18 inci yang direka untuk mengurangkan bunyi.

Menurut Lexus Malaysia, rim ini juga khusus untuk model LM 350 yang dikeluarkan dari kilang pemasangannya di Inabe, Jepun dan tidak dijual di mana-mana, bermakna ia eksklusif buat pembeli MPV ini.

MOBILITI gaya eksekutif korporat.
MOBILITI gaya eksekutif korporat.

BAHAGIAN belakang dengan bampar ciri graviti sifar.
BAHAGIAN belakang dengan bampar ciri graviti sifar.

RUANG bagasi luas.
RUANG bagasi luas.

Pintu but dengan fungsi penutup automatik serta dua pintu gelongsor memudahkan urusan keluar masuk dan meletak bagasi.

Ia datang dengan bumbung 'moonroof' untuk penumpang hadapan dan belakang.

Paling menarik untuk model ini sudah tentu pada bahagian kabinnya.

Meskipun boleh memuatkan tujuh penumpang, untuk LM 350, ia hanya ideal untuk empat penumpang termasuk pemandu.

Ini kerana fokus utamanya adalah untuk menawarkan keselesaan maksimum kepada penumpang belakang dengan kerusi lounge VIP seakan kelas penerbangan bisnes yang bukan sahaja luas, selesa malah tahapnya lebih tinggi daripada MPV lain.

Bayangkan, untuk perjalanan jauh, penumpang duduk di kerusi dengan kusyen 'Adaptipedic' yang mengikut alur bentuk tubuh dengan perehat kaki dan fungsi urutan.

Ia sesuatu yang di luar kebiasaan malah perjalanan pasti mendamaikan.

Penulis turut merasai kenikmatan ruang kabin yang dilengkapi dengan ciri mewah seperti rak majalah atau akhbar, ruang storan beg tangan dan peti ais mini bersaiz 14 liter.

Ruang ini sebenarnya terpisah daripada penumpang hadapan melalui panel kaca unik dan partikel elektronik untuk fungsi kejelasan yang boleh dilaras bagi lebih privasi.

Lexus juga menerapkan idea kabin sebagai bilik mesyuarat bergerak.

KERUSI ‘lounge’ untuk dua penumpang selesa.
KERUSI ‘lounge’ untuk dua penumpang selesa.

RUANG kabin penumpang.
RUANG kabin penumpang.

PAPAN PEMUKA mewah dan ciri teknologi.
PAPAN PEMUKA mewah dan ciri teknologi.

Melaluinya, ia menawarkan panel paparan bersaiz 24 inci berdefinisi tinggi untuk hiburan berkualiti dengan 19 pembesar suara Mark Levinson.

Ia juga disediakan untuk perbincangan dalam perjalanan yang boleh dipilih melalui alat kawalan jauh dan panel larasan pada konsol tengah kerusi.

Dengan dua kerusi sahaja di belakang, ia memberi ruang yang agak luas untuk bagasi.

Walaupun kabin penumpang fokus utama, untuk pemandu, ia dilengkapi ciri yang selesa dan mewah seperti skrin sesentuh 12.3 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk kualiti dan kelancaran, Lexus LM 350 dilengkapi enjin 3,456 cc DOHC V6 dwi VVT-i yang menghasilkan 296 kuasa kuda (hp) pada 6,600 rpm dan tork 361Nm pada 4,700 rpm dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Kestabilan dan keselesaan terbaik ditawarkan dengan suspensi rekaan Lexus.

Ia menggunakan teknologi penyerap hentakan dengan 'swing valve' melalui injap 'ultra-low velocity' untuk lebih responsif ketika melalui jalan tidak rata.

Selain mewah dan selesa, ia juga menawarkan ciri keselamatan terbaik iaitu tujuh beg keselamatan selain Sistem Keselamatan Lexus+ (LSS+) yang menawarkan antaranya ciri Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Mula/Henti.

Secara keseluruhannya, penulis berpendapat Lexus LM 350 menawarkan mobiliti gaya baharu dengan keselesaan maksimum.

Meskipun belum berpeluang memandunya, namun dengan ciri-ciri yang ditawarkan, sudah cukup membayangkan prestijnya model ini di jalanan.

Untuk pasaran Malaysia, dua pilihan warna ditawarkan iaitu putih Pearl Crystal Shine dan hitam.

Namun untuk nikmat kepuasan dan keselesaan itu, Lexus LM 350 didatangkan dengan tanda harga RM1.148 juta (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Pelanggan pertama yang membelinya akan menerima model ini pada awal Julai ini.

SPESIFIKASI

LEXUS LM 350

  • Enjin: 3.5 liter V6 DOHC dwi VVT-i

  • Transmisi: Lapan kelajuan automatik Direct Shift

  • Kuasa maksimum: 296 kuasa kuda (hp) pada 6,600rpm

  • Tork maksimum: 361Nm pada 4,700rpm

  • Kapasiti petrol: 75 liter

  • Ciri keselamatan: Tujuh beg keselamatan dan Sistem Keselamatan Lexus+ (LSS+)

  • Harga: RM1.148 juta (atas jalan tanpa insurans)
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:50 AM