KEKAL DNA dengan ciri terbaharu.
KEKAL DNA dengan ciri terbaharu.
Lizam Ridzuan


SELEPAS bertahun jenama Suzki 'hilang' daripada radar industri automotif Malaysia, baru-baru ini, ia kembali melalui pengenalan Suzuki Swift Sport.

Jenama Suzuki kini diedar secara eksklusif oleh Naza Eastern Motors Sdn Bhd dan import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Model 'hot-hatch' ini dijana enjin 1.4 liter 'Booster Jet' pengecas turbo yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik serta menjana 140 kuasa kuda (hp) pada 5,500 rpm dan tork 230Nm pada 2,500 hingga 3,500 rpm.

Dibina di atas platform 'Heartech' generasi baharu, ia memberikan kelebihan daripada aspek keselamatan melalui pengukuhan kerangka badan kenderaan dan menawarkan prestasi pemanduan yang mantap melalui ciri nisbah berat ke tork.

Untuk rekaan luaran, Suzuki Swift Sport mengekalkan DNA model terdahulu, namun dengan ciri terkini seperti gril hadapan lebar corak 'honeycomb', kemasan gentian karbon di sekeliling kereta dan rim aloi 16 inci.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu utama projektor daripada LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

CIRI hot-hatch prestasi Suzuki.
CIRI hot-hatch prestasi Suzuki.

Rekaan dalaman kabin juga menyerlah melalui kerusi semi 'bucket' malah penumpang belakang tiada masalah dengan ruang kepala selain unjuran kaki lebih selesa.

Bukan itu saja, ia datang dengan pemain multimedia skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dengan fungsi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatannya termasuk enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) serta Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

RUANG kabin gaya prestasi.
RUANG kabin gaya prestasi.

Seiring dengan pengenalan model ini, Naza Eastern Motors turut menyediakan ruang pameran 3S 'flagship' lengkap dengan Pusat Servis Suzuki terletak di Naza Automall, Petaling Jaya, Selangor.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu 'Champion Yellow', 'Pearl Pure White', 'Speedy Blue Metallic' dan 'Burning Red Pearl Metallic'.

KERUSI semi 'bucket' dengan sulaman Sport.
KERUSI semi 'bucket' dengan sulaman Sport.

Ia dijual pada harga RM139,900 dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:00 AM