PERSIS jentera perlumbaan.
PERSIS jentera perlumbaan.
Lizam Ridzuan


BAGAI menunggang jentera perlumbaan. Itu yang ditawarkan menerusi model Honda CBR600RR Serba Baharu yang dilancarkan ke pasaran tempatan.

Ia bukan saja menyerlahkan teknologi kejuaraan perlumbaan motosikal malah ia boleh disesuaikan bagi tujuan gaya hidup atau merasai pengalaman di litar.

Rekaannya penuh dengan ciri aerodinamik diinsipirasikan daripada teknologi perlumbaan.

Dengan lampu hadapan dwi-LED yang tampil agresif, 'winglets' dan ekzos kompak, ia cukup menyerlahkan prestasinya.

Bagi lebih mesra penunggang, ia dilengkapi ciri seperti 'Quick Shifter' dan klac 'Slipper/Assist' untuk pertukaran gear lebih lancar.

Bukan itu saja, ia juga lengkap dengan paparan meter TFT warna penuh untuk kemudahan penunggang melihat paparan meter dengan kecerahan skrin mengikut faktor cuaca sekeliling.

ENJIN empat silinder selari.
ENJIN empat silinder selari.

CBR600RR dikuasakan dengan enjin 599cc sejukan cecair empat silinder selari untuk kuasa 113PS pada 14,000 rpm dan tork 63Nm pada 11,500 rpm dengan enam transmisi manual.

Jentera ini juga dilengkapi 'Inertial Measurement Unit' (IMU) iaitu pengesan sudut kedudukan motosikal yang bersepadu dengan Kawalan Tork Boleh Pilih Honda (HSTC) dan Unit Kawalan Enjin (ECU) dalam memastikan tayar belakang tidak tergelincir ketika pecutan atau melewati selekoh.

Ia hadir dalam tiga mod tunggangan iaitu 'Fast Riding', 'Fun Riding' dan 'Comfortable' selain pilihan bagi penunggang melaras dua mod yang sesuai.

Ini boleh dilakukan dengan melaras kuasa (lima tahap), HSTC (9 tahap+off) kawalan 'whellie' (3 tahap dan brek enjin (3 tahap).

Model ini juga dilengkapi 'Honda Electronic Steering Damper' (HESD) dengan tiga mod larasan (hard, medium, soft) yang disertakan dengan fungsi IMU dan pengesan kelajuan bagi menambah kestabilan.

METER TFT.
METER TFT.

Sesuai sebagai jentera prestasi, ia dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, empat piston angkup 310mm cakera berkembar pada bahagian hadapan dan angkup tunggal belakang 220mm.

Sistem suspensi hadapan tambah stabil dengan Showa 41mm boleh laras terbalik dan Pro-Link untuk belakang.

Hanya satu warna ditawarkan iaitu Grand Prix Red. Model ini dijual pada harga RM98,888 dengan dua tahun jaminan pengeluar atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

DAMPER elektronik.
DAMPER elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:15 AM