Lizam Ridzuan

Mula memasuki pasaran tempatan pada 2017, Modenas Pulsar RS200 memiliki gaya jentera 'street' dengan ciri keselamatan terbaik.

Untuk suntikan lebih segar, tiga warna dan corak grafik baharu diperkenalkan baru-baru ini dengan pilihan warna Merah Burnt, Putih Metalik Mutiara dan Kelabu Pewter.

Seiring dengan itu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menganjurkan hari litar media eksklusif bagi menguji jentera ini yang diadakan di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor, Selangor.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan, untuk acara pelepasan media ke litar lumba.

Vroom menyertainya baru-baru ini. Program dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan jumlah peserta yang minimum.

Semua aktiviti dijalankan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Selepas sesi taklimat berkaitan aktiviti dan keselamatan, wakil media diberi peluang mencuba dulu motosikal di luar litar dengan melakukan tunggangan 'slalom' dan pusingan nombor lapan.

ROSLAN melepaskan wakil media ke litar lumba.
ROSLAN melepaskan wakil media ke litar lumba.

Kemudian kami dibawa satu pusingan mengelilingi keseluruhan litar bagi membiasakan diri sebelum dilepaskan mengikut kelajuan masing-masing.

Modenas Pulsar RS200 dijana dengan enjin 199.5cc silinder tunggal, empat lejang, SOHC, sejukan cecair, tiga palam pencucuh DTS-i dengan suntikan bahan api elektronik (EFI).

Ia menjana kuasa 24.5 PS pada 9,750rpm dan tork 18.6Nm pada 8,000rpm yang dipacu kotak gear transmisi enam kelajuan.

AKSI lagak ngeri oleh pelumba profesional.
AKSI lagak ngeri oleh pelumba profesional.

Ujian di litar sejauh 1.13 kilometer (km) meliputi 12 selekoh yang agak teknikal memerlukan jentera yang berkuasa dengan kawalan dan tukaran gear lancar.

Modenas Pulsar 200 memberikan keseronokan untuk 'memulas pendikit' motosikal ke tahap maksimum terutama ketika laluan lurus.

Pengendalian juga stabil ketika selekoh tajam dengan suspensi hadapan teleskopik dan belakang penyerap tunggal Nitrox berserta canister yang boleh dilaras enam ketetapan.

Tayar hadapan bersaiz 100/80-17 dan belakang 130/70-17 tanpa tiub adalah ciri standard untuk kestabilan dan cengkaman lebih baik.

Brek hadapan dilengkapi angkup Bybre dengan cakera tunggal 300 milimeter (mm) serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan belakang dengan cakera 230mm, memberikan keyakinan untuk memberhentikan jentera dengan baik.

Posisi menunggangnya pula ergonomik dengan kerangka perimeter sesuai untuk gaya santai atau prestasi.

Bagi menampilkan gaya lebih terkini, motosikal ini dilengkapi lampu hadapan projektor berkembar untuk pancaran lebih jelas serta ekzos gaya perlumbaan dengan kemantapan akustik sebaik rpm mencecah garis merah.

PULSAR RS200 kini dengan tiga pilihan warna baharu.
PULSAR RS200 kini dengan tiga pilihan warna baharu.

Panel meter analog dan digital juga memudahkan mata melihat dengan sekali imbas terutama pada kelajuan tinggi.

Ia disertakan antaranya dengan maklumat seperti speedometer, odometer dan waktu dengan ciri digital.

Tangki bahan api 13 liter dinyatakan oleh pengeluar mampu menjangkau sejauh 300km namun ia bergantung kepada corak dan gaya tunggangan.

Penulis mencuba juga pada kelajuan dan tunggangan biasa dan sememangnya jentera ini memberikan kelancaran yang berterusan terutama sekali untuk kegunaan harian.

Secara keseluruhan, Modenas Pulsar RS200 ini menampilkan 'street' bike untuk gaya dan juga bagi disesuaikan dengan keperluan tunggangan.

POSISI ergonomik sesuai untuk kegunaan harian.
POSISI ergonomik sesuai untuk kegunaan harian.

Ke tempat kerja atau hujung minggu ke destinasi pilihan, Pulsar RS200 ini turut menampilkan penggunaan bahan api yang efisien terutama sekali untuk perjalanan jarak jauh.

Model ini juga adalah pilihan untuk naik taraf pemilikan daripada 'cub' ke jentera yang lebih bergaya pada harga mampu milik.

Paling utama, ciri keselamatan dengan brek cakera hadapan ABS. Ia sesuatu yang wajib ada pada setiap motosikal dan turut dilengkapi pada model ini.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM9,990 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 6:35 AM