KEMAHIRAN menunggang diuji dalam ToT.
KEMAHIRAN menunggang diuji dalam ToT.
Lizam Ridzuan


PROGRAM Latihan untuk Jurulatih (ToT) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat julung kalinya membabitkan ikon dan bekas pelumba motosikal negara.

Objektif program ialah membantu mengurangkan kes kemalangan motosikal.

Antara pelumba yang terbabit dalam program ini ialah Shahrol Yuzy, Azlan Shah, Alizan Tambi, Sharun Nizam Tamin, Ahmad Zamani Baharudin dan Elly Idzlianizar Ilias.

Program ini disokong Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan (MMRA) dan Motowazi sebagai penyelaras aktiviti serta Givi selaku rakan penaja peralatan dan aksesori motosikal.

KELAS teori.
KELAS teori.

Ketua Unit Cawangan Pencegahan dan Promosi Kesihatan Pekerja, Bahagian Pencegahan, Perubatan Pemulihan Perkeso, Harun Bakar berkata, pihaknya melihat ToT sebagai pendekatan lebih sesuai untuk mendidik golongan muda dan pengguna.

"Berdasarkan kajian kami, setiap tahun Perkeso membayar tuntutan perlindungan kepada pencarum berjumlah RM4 bilion.

"Daripada jumlah itu, RM1.4 bilion membabitkan tuntutan berkaitan kemalangan jalan raya. Kemalangan pula membabitkan 76 peratus penunggang serta pembonceng motosikal," katanya.

TOT disertai 20 pelumba dan bekas pelumba motosikal negara.
TOT disertai 20 pelumba dan bekas pelumba motosikal negara.

Menurut Harun, ikon pelumba motosikal negara akan memberi pendedahan selain berkongsi teknik tunggangan selamat kepada golongan sasar.

Antara aktivitinya, kelas teori dan praktikal membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Perkeso, Kawasaki, Modenas, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Hospital Kuala Lumpur.

Program ini akan diadakan di 10 lokasi di seluruh negara bagi membolehkan lebih ramai individu menyertainya.

Sementara itu, Penyelaras Program ToT yang juga legenda perlumbaan cub prix, Wazi Abd Hamid berkata, penting untuk melahirkan jurulatih motosikal terlatih.

WAZI
WAZI

"Jurulatih yang cukup terlatih akan berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka dengan orang ramai.

"Pada masa sama, usaha ini juga diharap dapat membantu kebajikan bekas pelumba meneruskan kelangsungan hidup selepas terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Pada masa sama, menurutnya, pengalaman yang mereka miliki boleh digunakan untuk menyumbang kepada usaha kerajaan dalam membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:10 AM