JIKA anda berminat dengan kenderaan sports coupe sebegini, untuk makluman, cukai jalannya ialah RM32,000 dan untuk bayaran ansuran bulanan ialah sekitar RM22,650 bagi tempoh lima tahun selepas menyelesaikan bayaran muka RM100,000.

Itulah penangan model Lexus LC 500 Convertible yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada hujung tahun lalu.

Ia menampilkan gaya 'seksi' untuk jalanan malah model ini menempatkan ia sebagai penanda aras terbaharu segmen kenderaan bumbung boleh buka untuk pasaran automotif dunia.

Vroom berpeluang memandu ujinya baru-baru ini. Ia adalah unit tunggal yang dibawa masuk bagi tujuan pemasaran kerana pembeli yang sudah menempah hanya akan menerima unit milik mereka pada pertengahan bulan ini.

Melihat kepada reka bentuk luaran, model ini adalah versi sama LC 500 Coupe yang memasuki pasaran tempatan pada 2017.

Namun untuk versi ini, ia didatangkan dengan ciri bumbung boleh dibuka (convertible) yang menambah lagi gaya kemewahan terdapat padanya.

Untuk bahagian hadapan, ia didatangkan dengan lampu utama LED ultra kompak tiga berkembar dan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L.

Gril radiator 'spindle' juga menyerlahkan model ini.

Bahagian belakangnya didatangkan dengan kombinasi lampu LED berbentuk L serta efek cermin infiniti selain empat ekzos dengan kemasan Quad.

LC 500 yang panjangnya ialah 4,770 milimeter (mm) dipadankan dengan rim aloi bersaiz 21 inci dua tona.

GAYA coupe convertible mewah.
GAYA coupe convertible mewah.

TAMPIL rekaan aerodinamik.
TAMPIL rekaan aerodinamik.

RUANG kabin konsep 2+2.
RUANG kabin konsep 2+2.

Bumbung lembut fabrik dengan warna hitam boleh dibuka dan tutup dalam tempoh 15 ke 16 saat adalah fokus utama LC 500 ini.

Menjengah ke ruang dalaman, ia didatangkan dengan konsep 2+2 selain tempat duduk Semi-Aniline kulit sport berserta sokongan lumbar dan larasan elektrik lapan kedudukan.

Roda stereng kuasa dikemaskan dengan lapisan kulit dan teleskopik. Sistem memori serta pelbagai fungsi yang ada padanya, termasuk 'paddle shifter', menjadikannya lebih bergaya.

Untuk pemandu, ia dilengkapi kombinasi meter digital bersaiz lapan inci TFT dan lingkaran meter boleh bergerak dengan warnanya berubah mengikut mod pemanduan dipilih.

Juga terdapat Paparan Heads-up (HUD) untuk pemandu supaya lebih fokus pada pemanduan. Ia terpancar pada cermin hadapan.

Bahagian papan pemuka dengan sistem multimedia Electro Multi Vision (EMV) bersaiz 10.3 inci, walaupun bukan skrin sesentuh, ia boleh dilaras melalui kawalan pelapik sesentuh terdapat pada konsol tengah.

Ia juga memaparkan sistem navigasi dan kamera undur bagi tujuan kemudahan parkir.

Selain pemain cakera padat dan DVD, ia juga dilengkapi ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta Bluetooth.

Sistem bunyi premium daripada Mark Levinson dengan 13 pembesar suara melalui 11 saluran menyalurkan akustik mewah berkualiti tinggi.

Sistem pendingin udara dwizon dengan 'Climate Concierge' pula didatangkan dengan penjana penapis 'Pollen & Nanoe Negative Ion' untuk kualiti udara lebih bersih.

Pintu tanpa bingkainya didatangkan dengan 'Electro Chromic' dan kemasan kulit.

Ruang but 149 liter, walaupun tidak terlalu luas, namun masih boleh memuatkan beg sederhana.

Paling mengujakan sudah pasti prestasi pemanduan. Dengan enjin 4,969 cc DOHC V8 'naturally aspirated' Dual VVT-i Atkinson Cycle, ia menjana kuasa kuda 470hp pada 7,100rpm dan tork 540Nm pada 4,800rpm.

ENJIN 5.0 liter V8.
ENJIN 5.0 liter V8.

PELAPIK sesentuh untuk larasan sistem multimedia.
PELAPIK sesentuh untuk larasan sistem multimedia.

Transmisi 10 kelajuan Direct Shift automatik pula mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 kilometer/sejam (km/j) dan memecut dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh 4.9 saat.

Penulis mencuba enam mod pemanduan terdiri daripada Normal /Eco/Comfort/Sport S/Sport S+/Custom dan sudah pasti Sport S+ paling mengujakan kerana kuasa yang dialirkan sangat responsif sebaik pedal minyak ditekan.

Paling seronok melayan selekoh, ia sangat stabil untuk apa jua kelajuan.

Di lebuh raya, ia kekal selesa meskipun dipandu pada kelajuan tinggi hasil sistem gantungan 'multi-link' untuk hadapan dan belakang.

Memandu ketika bumbung dibuka pula mendatangkan kepuasan tersendiri.

Selain itu, sistem aliran udara yang dihasilkan oleh Lexus menjadikan kabin tidak terlalu bising.

Melalui tangki bahan api 82 liter, sejak awal lagi ia sudah menunjukkan yang jangkaan penggunaan bahan api menjangkau sekitar 380km sahaja.

Walaupun jentera ini dipandu dengan agresif, namun ia tidak terlampau 'menelan' minyak dengan pantas hasil teknologi dwi DVVT-i itu.

Sistem keselamatan aktif dan pasif terbaik juga ditawarkan seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Bantuan Kekal Laluan (LKA) dan enam beg udara SRS.

Terdapat 11 pilihan warna (termasuk kuning Naples Contrast Layering yang dipandu uji ini) dengan dua warna pilihan pada bumbung iaitu hitam serta 'beige' dan ia adalah unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Untuk pasaran Malaysia, Lexus 500 Convertible dijual pada harga bermula RM1.35 juta (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000km yang pertama.

SPESIFIKASI
Lexus LC 500 Convertible

  • Enjin: 4,969cc DOHC V8 naturally aspirated Dual VVT-i

  • Transmisi: 10 kelajuan Direct Shift automatik

  • Kuasa maksimum: 470hp pada 7,100rpm

  • Tork maksimum: 540Nm pada 4,800rpm

  • Kapasiti tangki petrol: 82

  • Kelajuan maksimum: 270 km/j

  • Ciri keselamatan: Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pancaran Lampu Tinggi Automatik (AHB), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), enam beg udara SRS, palang golekan aktif dan Pop-Up Hood (PUH).

  • Harga: RM1.35 juta (atas jalan tanpa insurans)
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:01 AM