SUPERLEGGERA V4 paling maju dan terpantas oleh Ducati.
SUPERLEGGERA V4 paling maju dan terpantas oleh Ducati.
Lizam Ridzuan


HANYA 500 unit Ducati Superleggera V4 dibina dan baru-baru ini, ia 'menerjah' pasaran tempatan.

'Motor lumba' diinspirasikan daripada jentera perlumbaan litar dan sah untuk kegunaan jalanan itu dilancarkan oleh Next Bike (Ducati Malaysia) sebagai pengedar rasmi motosikal Ducati di negara ini.

Dihasilkan di Borgo, Panigale, Itali, Superleggera V4 adalah jentera paling berkuasa dan terpantas dengan ciri teknologi termaju yang pernah dihasilkan oleh Ducati.

Untuk rekaan, selain dipenuhi elemen aerodinamik, ia juga diberi sentuhan eksklusif.

Ini termasuk nombor siri yang sama terdapat pada VIN dan kerangka, 'fork yoke', kunci penghidup selain sijil pemilikan.

Ia juga menawarkan gaya tunggangan seakan-akan jentera MotoGP untuk kegunaan jalanan meletakkan ia dalam kelasnya ,tersendiri tanpa pesaing terdekat di pasaran.

KEGUNAAN litar dan sah jalanan.
KEGUNAAN litar dan sah jalanan.

Superleggera membawa maksud 'cukup ringan' apabila jentera ini satu-satunya model pengeluaran menggunakan material karbon komposit untuk keseluruhan casis dan ia 6.7 kilogram (kg) lebih ringan.

Motosikal ini diuji menggunakan teknik diadaptasi daripada industri angkasa lepas seperti 'thermography', pemeriksaan ultrasonik dan 'tomography'.

Selain itu, ia juga dilengkapi bahan gentian karbon, titanium dan aluminium pada bahagian komponen lain seperti roda dan lengan hayun yang menawarkan berat keseluruhan 159kg.

Penggunaan bahan berkenaan menjadikannya 16kg lebih ringan daripada model Panigale V4 yang turut menghasilkan nisbah berat ke kuasa 1.41 hp/kg, ia adalah yang tertinggi untuk 'sports bike' sebegini.

Sesuai dengan kepantasan, ia dilengkapi sistem brek Brembo dan angkup Stylema R untuk kuasa membrek yang konsisten dan selamat.

Untuk pengendalian terbaik, jentera ini dilengkapi suspensi Ohlins dengan penyerap hentakan TTX36 dan spring titanium serta injap GP.

CIRI ‘Biplane’ daripada teknologi MotoGP.
CIRI ‘Biplane’ daripada teknologi MotoGP.

Ia mengurangkan kesan melekat dan meningkatkan serapan laluan berbonggol ketika fasa redaman awal serta 'fork pressurised'.

Ia dilengkapi enjin 998cc 'Desmosedici Stradale 90̊ V4' yang menjana kuasa 224hp pada 15,250 rpm dan 116Nm pada 11,750. Kelajuan maksimum mampu mencecah sehingga 299 kilometer/sejam (km/j).

Melalui transmisi enam kelajuan, ia mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh dua saat.

Untuk ciri termaju, ia dilengkapi papan pemuka TFT untuk pelbagai ciri dan fungsi selain speedometer dan rpm.

Ia juga memberikan bantuan elektronik kepada penunggang seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Selekoh EVO, Kawalan Cengkaman Ducati (DTC) EVO 2 dan Kawalan 'Wheelie' Ducati (DWC).

Superleggera V4 ini juga datang dengan tetapan 'Race A' dan 'B' untuk prestasi maksimum di litar selain sport untuk kegunaan jalanan serta lima pilihan mod tunggangan.

PERTAMA di Malaysia dengan nombor siri 210/500.
PERTAMA di Malaysia dengan nombor siri 210/500.

Ia juga didatangkan dengan mod 'Dash RaceGP' yang diaktifkan sebaik ekzos perlumbaan dipasang.

Ia memberikan maklumat segera berkaitan litar dan ia khusus bagi kegunaan trek sahaja.

Sistem ini juga hadir dengan Catatan Masa Pusingan GPS Ducati untuk 60 pusingan dan enam sesi yang boleh dirakam serta memberikan data catatan masa terbaik dengan koordinasi sehingga lima litar yang boleh disimpan.

Sama ada yang gemarkan tunggangan di litar atau sekadar peminat yang menyimpan koleksi motosikal dengan ciri termaju, Ducati Superleggera V4 ini didatangkan dengan harga jualan RM888,000 dan sudah diserahkan kepada pemilik pertamanya di negara ini iaitu Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin dengan nombor siri 210/500.

Hadir ketika pelancaran dan penyerahan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan dan Ketua Next Bike, Dennis Michael.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:50 AM