HONDA City Serba Baharu.
HONDA City Serba Baharu.
Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia menawarkan 'Jualan Istimewa 12.12 City Serba Baharu' dengan rebat RM2,000 bersempena festival hujung tahun dan jualan 'double 12' di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, kempen 'Joy of Buying' ini khas buat pelanggan mendapatkan model Honda City Serba Baharu generasi kelima itu.

"Sebagai menghargai sokongan semua, kami menawarkan tempahan model Honda City Serba Baharu daripada varian S dan E untuk rebat istimewa ini bermula 1 hingga 12 Disember ini.

"Pendaftaran kenderaan boleh dilakukan dari 1 sehingga 31 Disember 2020 dan mereka yang melengkapi tempahan serta pendaftaran dalam tempoh ini layak menerima rebat istimewa itu," katanya.

CIRI terbaharu untuk kemudahan pengecasan.
CIRI terbaharu untuk kemudahan pengecasan.

Selain itu, pembeli juga mendapat lebih manfaat selain rebat iaitu pengecualian cukai jualan sehingga hujung tahun menjadikan pembelian ini lebih berbaloi.

Honda City Serba Baharu menerima lebih 9,000 tempahan sejak dilancarkan Oktober lalu dan kedua-dua varian ini dijana dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC dan kotak gear CVT.

Ia dilengkapi ciri terbaharu dengan ruang dalaman lebih selesa termasuk corong pendingin udara untuk penumpang belakang dan sistem infotainmen bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk varian E.

RUANG but luas.
RUANG but luas.

Elemen keselamatan terbaik turut disertakan seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) Bantuan Brek (BA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Untuk pasaran Malaysia, Honda City Serba Baharu dijual pada harga RM74,191 (S), RM81,664 (E) dan RM86,561 (V) yang mana semuanya harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:40 PM