ELEGAN kini dengan ABS.
ELEGAN kini dengan ABS.
Lizam Ridzuan


SELEPAS hampir tiga tahun diperkenalkan ke pasaran tempatan, Modenas Elegan 250 yang diberi sentuhan baharu dilancarkan ke pasaran baru-baru ini.

Skuter maxi itu kini dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran untuk hadapan dan belakang bagi memberhentikan jentera dengan lebih baik dalam semua keadaan cuaca.

Ia juga dilengkapi lampu hadapan projektor lebih bergaya serta lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Lampu belakang bentuk 'X' kekal dengan LED adalah ciri menarik bukan sahaja untuk cahaya lebih jelas malah meningkatkan aspek keselamatan pada skuter.

Tiada perubahan ketara pada reka bentuk Modenas Elegan 250 ABS yang kekal dengan elemen sporty, keselesaan dan ciri praktikal termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua topi keledar atau barangan lain.

Paparan meter pula gabungan analog dan digital. Di bahagian tengah, ia untuk paparan jarak perjalanan, jam, penunjuk voltan bateri dan peringatan untuk menukar minyak enjin yang mana ada ciri tidak ditawarkan pada model lain yang harganya lebih tinggi dalam pasaran.

LAMPU hadapan projektor LED.
LAMPU hadapan projektor LED.

Antara kemudahan lain ialah soket pengecas USB di ruang simpanan terletak di bawah pemegang, serta tempat meletak kaki lebih fleksibel dan santai serta pelana sesuai untuk membawa pembonceng.

Untuk pacuan, dengan enjin 249cc SOHC suntikan bahan api empat lejang silinder tunggal, ia menawarkan kuasa 22.1hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4Nm pada 6,500rpm.

Sistem penyejukan cecair pula untuk meningkatkan prestasi, perlindungan dan ketahanan pada enjin dengan transmisi automatik CVT.

METER analog dan digital pelbagai maklumat.
METER analog dan digital pelbagai maklumat.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu merah satin matte dan hitam satin matte.

Modenas Elegan 250 ABS dijual pada harga RM15,315 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua tahun jaminan pengeluar atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:13 AM