DIBUKA dalam tempoh 15 saat.
DIBUKA dalam tempoh 15 saat.
CIRI convertible LC 500.
CIRI convertible LC 500.
Lizam Ridzuan


JIKA model Coupe sudah cukup menyerlah termasuk digunakan dalam filem Black Panther, versi ini menambah lagi elemen kemewahannya.

Lexus LC 500 Convertible diperkenalkan ke pasaran tempatan baru-baru ini seterusnya mengukuhkan penawaran model teratas jenama ini di Malaysia.

Model bumbung boleh buka ini juga julung kali ditawarkan oleh Lexus, ia adalah penanda aras untuk segmen kenderaan sebegini yang diangkat daripada model konsep LF-LC.

Jika melihat daripada bentuk luaran, ia mengekalkan ciri dan casis yang sama dengan model LC 500 yang terlebih dahulu memasuki pasaran tempatan pada 2017.

REKAAN hadapan ciri signatur.
REKAAN hadapan ciri signatur.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED serta gril 'Spindle'.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi kombinasi lampu LED berbentuk L. Lampu brek ketiga pada penutup but serta ekzos berkembar menambah elemen kesegaran jenama ini.

Sama ada berbumbung atau sebaliknya, bentuknya sudah cukup seksi dengan garis lengkung yang menonjol dan dipadankan dengan rim 21 inci dua tona.

KABIN 2+2 selesa.
KABIN 2+2 selesa.

KOMBINASI meter digital.
KOMBINASI meter digital.

ENJIN 5.0 liter V8.
ENJIN 5.0 liter V8.

Mekanisma lipatan bumbung dengan material empat lapisan melalui kuasa hidraulik membolehkan ia diturunkan dalam tempoh 15 saat dan dinaikkan dalam 16 saat.

Ia juga boleh dilakukan dalam keadaan kenderaan bergerak sehingga 50 kilometer/sejam(km/j) yang turut tersimpan kemas ketika dibuka.

KEMASAN belakang penuh gaya.
KEMASAN belakang penuh gaya.

Bumbung ini turut menyumbang kepada aspek dinamik serta bunyi angin daripada memasuki kabin.

Ruang but berkapasiti 149 liter membolehkan

pemiliknya menyimpan sebuah beg golf.

Kabin 2+2 pula menggabungkan elemen dan ciri elegan serta keselesaan maksimum, malah kokpitnya khusus untuk pemandu.

Sesuai untuk pemanduan hujung minggu atau harian, ia dilengkapi skrin multimedia resolusi tinggi 10.3 inci paparan terpisah.

Sistem pengaktifan suara pula mampu mengaktifkan audio dan kawalan pendingin udara selain sistem penunjuk arah.

Sistem ini disepadukan dengan Apple CarPlay dan Android Auto daripada telefon ke skrin utama.

Ia juga dilengkapi 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System untuk kesan akustik terbaik sama ada bumbung terbuka atau tidak.

Kenderaan ini kekal dengan enjin 5.0 liter 'naturally aspirated V8'. Ia menghasilkan kuasa 470hp pada 7,100rpm dan tork 540Nm pada 4,800rpm melalui transmisi automatik Direct-Shift 10 kelajuan.

Ia mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada kelajuan 270km/j.

Walaupun penjimatan bahan api bukan fokus utama namun melalui Dual Variable Valve Timing-intelligent (DVVT-i), gabungan ciri Artificial Intelligence Shift Control membolehkan ia menawarkan bacaan bahan api pada sekitar 12.7 liter untuk setiap 100km serta penukaran gear lebih lancar untuk pengalaman pemanduan terbaik.

Enam mod pemanduan ditawarkan terdiri daripada 'Normal', 'Eco', 'Comfort', 'Sport S', 'Sport S+' dan 'Custom'.

Ia didatangkan dengan Lexus Safety System+ (LSS+) dengan sistem praperlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan kekal lorong, kawalan pelayaran radar dinamik serta lampu tinggi automatik.

Ia turut dilengkapi enam-beg keselamatan serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.

Lexus LC 500 Convertible dijual pada harga RM1.35 juta (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000km yang pertama.

Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 6:21 AM