Lizam Ridzuan

Pilihan kenderaan utiliti sukan (SUV) semakin banyak melalui pengenalan model Kia Seltos Serba Baharu ke pasaran tempatan.

Ia direka dengan penuh perincian yang boleh dilihat daripada bentuk lampu yang sporty dan

sofistikated.

Pencahayaan tiga dimensi dan bentuk yang tirus daripada hadapan ke belakang pada Seltos menjadikan ia tampil unik serta menyerlah.

Ia juga dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) dengan elemen melintang pada bahagian atas gril.

Ia bukan sahaja menyerlah pada waktu malam malah jelas kelihatan pada siang.

Untuk bentuk keseluruhan, ia didatangkan dengan gaya signatur Kia dengan gril 'hidung harimau' dan bonet panjang serta garisan lasak selain bampar belakang ciri 'muffler' metalik untuk gaya dinamik.

Ruang dalaman Seltos Serba Baharu dilengkapi karakter futuristik yang sarat dengan teknologi dan material bermutu tinggi.

GAYA kompak dan dinamik.
GAYA kompak dan dinamik.

ELEMEN sporty dengan pencahayaan menarik.
ELEMEN sporty dengan pencahayaan menarik.

Roda stereng teleskopik, kluster meter TFT LCD tujuh inci, sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 8 inci, sistem penyaman udara dua zon dan sistem kemasukan tanpa kunci antara yang ditawarkan pada model ini.

Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos Serba Baharu didatangkan dengan dua varian iaitu EX dan GT Line yang berkongsi enjin 1,591cc DOHC D-CVVT petrol.

Ia menjana kuasa 123 PS pada 6,300 rpm dan tork 150.7Nm pada 4,850 rpm serta dilengkapi transmisi enam kelajuan automatik.

Mod pemanduannya membabitkan normal, eco dan sport.

KLUSTER meter pemandu dan roda stereng teleskopik.
KLUSTER meter pemandu dan roda stereng teleskopik.

Sistem keselamatan pula membabitkan enam beg keselamatan, Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Isofix.

Pilihan warna terdiri daripada Glacier White Pearl, Gravity Grey, Intense Red (EX) dan Intelligency Blue (GT Line).

Tiada lagi pengumuman harga buat masa ini, namun tempahan sudah dibuka daripada Naza Kia Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:00 AM