UNTUK kenderaan segmen-C di negara ini, Honda Civic generasi ke-10 terus menjadi pilihan pembeli dengan penguasaan pasaran sehingga 72 peratus sepanjang 2019.

Pelbagai pembaharuan diperkenalkan menjadikan model ini terus menjadi kenderaan yang didatangkan dengan ciri prestasi dan keselamatan terkini.

Vroom memandu uji model terbaharu daripada varian 1.5TC-P yang diperkenalkan pada awal tahun ini.

Ia dilengkapi sistem bantu pemandu termaju 'Honda Sensing' yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk model Accord, Oddysey dan CR-V.

Melihat kepada rekaan luaran, tiada perbezaan ketara, namun antara pembaharuan yang diberi ialah pada bahagian bampar hadapan dan gril dengan kemasan hitam piano.

Rekaan keseluruhan gaya 'fastback' ini juga dikemaskan dengan 'spoiler' belakang dan rim aloi 18 inci baharu melengkapi penampilan lebih segar.

Pada bahagian dalaman, ia didatangkan dengan tempat duduk kulit malah pemandu disediakan tempat duduk berkuasa dengan lapan talaan bagi keselesaan sepanjang perjalanan.

Bagi ciri praktikal, ia didatangkan dengan kerusi belakang jatuhan 60:40 dan satu suis kawalan kipas penyaman udara untuk keselesaan keseluruhan termasuk dua zon penyaman udara dan corong khas penumpang belakang.

Dua pengecas USB disediakan di bahagian konsol hadapan dan perehat tangan penumpang belakang yang turut boleh digunakan sebagai tempat meletak minuman.

Sistem multimedianya dilengkapi skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dilengkapi ketersambungan 'Apple CarPlay' dan 'Android Auto' serta lapan pembesar suara untuk kualiti bunyi lebih baik.

Ia turut memaparkan kamera 360 darjah bagi tujuan kemudahan parkir dan memudahkan keluar dari kawasan sempit.

Civic ini dikuasakan enjin 1,498cc empat silinder DOHC VTEC pengecas Turbo. Ia menjana 173PS pada 5,500rpm dan tork 220Nm pada 1,700 hingga 5,500rpm.

Walaupun hanya 1.5 liter, melalui teknologi 'Earth Dreams', keupayaannya umpama prestasi enjin 2.4 liter malah turut diberi penarafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Selari dengan prestasi, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 kilometer/sejam (km/j) melalui kotak gear Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) tujuh kelajuan bagi kelancaran prestasi.

Pemandu boleh memilih mod pemanduan seperti normal, sport atau econ untuk penggunaan bahan api lebih efisien.

Pengendalian melalui suspensi hadapan MacPherson Strut dan belakang dengan multi-link menjadikan ia selesa pada pelbagai kelajuan dan ketika mengambil selekoh.

Roda stereng pelbagai fungsi dan paparan meter digital penuh TFT boleh ditukar menjadi mod turbo, termasuk paparan fungsi panggilan telefon dan muzik tersedia.

Tidak hanya prestasi yang ditawarkan, Honda Civic juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik dalam kelasnya dengan enam beg keselamatan SRS, Bantu Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantu Pengendalian 'Agile' (AHA), Bantu Mula Bukit (HSA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantu Brek (BA), Sensor hadapan baharu dan Isofix.

Secara keseluruhan, Honda Civic 1.5 TC-P bukan sahaja sebagai varian tertinggi daripada tiga yang ditawarkan di negara ini, malah sesuai sebagai kenderaan untuk mobiliti keluarga.

Keselesaan dan kemantapan prestasi yang ditawarkan membuatkan pemiliknya mendapat kepuasan tersendiri terutama melayan laluan selekoh pada hujung minggu atau ke destinasi pilihan.

Ruang but seluas lebih 519 liter bagi pandangan penulis adalah saiz yang cukup ideal untuk memuatkan barangan dan bagasi seisi keluarga.

Ciri termaju lain yang ditawarkan termasuk penghidup enjin kawalan jauh dan 'walk away auto lock' untuk semua varian.

Satu isian penuh 47 liter membolehkan kenderaan ini mampu menjangkau perjalanan sehingga 420km namun bergantung kepada corak pemanduan dan bebanan.

Namun paling utama, Civic baharu ini dilengkapi Honda Sensing dengan fungsi seperti Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC), Sistem Mengikuti Kenderaan (LSF), Lampu Tinggi Auto (AHB), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (RDM) dan Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS).

Untuk pasaran Malaysia, Honda Civic 1.5 TC-P dijual pada harga RM134,661 (harga pengecualian cukai jualan) daripada RM139,600 dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:52 AM
BUT seluas 519 liter.
BUT seluas 519 liter.
GAYA ‘fatsback’.
GAYA ‘fatsback’.
METER pemandu dengan TFT.
METER pemandu dengan TFT.
RUANG dalaman kemas.
RUANG dalaman kemas.
CIVIC baharu dengan kemasan terkini.
CIVIC baharu dengan kemasan terkini.