Lizam Ridzuan


MODEL ini pada pandangan penulis antara barisan menarik Volvo yang terdapat di negara ini kerana ia menampilkan rekaan dengan kelas tersendiri.

Volvo S60 T8 Serba Baharu ini diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu sebelum edisi pemasangan tempatan (CKD) seperti yang dipandu uji Vroom ini dilancarkan pada Mei lalu.

Melihat rekaannya sahaja sudah cukup membuatkan mata tidak berpaling.

Satu sahaja varian ditawarkan untuk pasaran negara ini iaitu R-Design.

Ciri-ciri signatur seperti lampu hadapan dengan LED penuh, cermin sisi hitam, lampu nyalaan siang (DRL) bentuk tukul Thor, gril R-Design dengan bingkai krom serta hitam pada bahagian bawah menyerlahkan lagi rekaannya.

REKAAN S60 T8 varian R-Design.
REKAAN S60 T8 varian R-Design.

Pada bahagian belakang, logo S60 dan T8 R-Design serta perkataan Volvo tampil kemas dengan lampu LED bentuk E serta eksoz berkembar.

Padanan lebih mantap dengan rim aloi bersaiz 19 inci 5-Triple jejari Matt Tech Black potongan berlian. Saiz tayarnya pula 235/40.

Menjengah ke bahagian dalaman, ia mengekalkan elemen yang sama pada model S90 iaitu Sensus Connect seakan tablet bersaiz sembilan inci bagi fungsi hiburan, larasan kenderaan, navigasi, kamera 360 darjah dan ketersambungan aplikasi serta telefon.

Untuk pemandu, khusus disediakan Paparan Digital Adiptif bersaiz 12.3 inci TFT dan Paparan Head-Up (HUD) untuk lebih fokus pada pemanduan.

Penghidup enjin, mod pemanduan, kemasan corong pendingin udara antara elemen signatur untuk Volvo sedan ini dengan gaya potongan berlian.

Roda stereng kulit tiga jejari, tuil gear dan pedal sport R-Design adalah kemasan eksklusif untuk varian ini yang menyerlahkan lagi elemen sporty.

Tempat duduk kulit dan fabrik hitam tampil lebih elegan dengan 'semi-bucket' juga disertakan logo R-Design pada pelindung kepala.

Ia dilengkapi dengan fungsi elektrik dan memori untuk kerusi penumpang hadapan.

Kerusi belakangnya juga selesa serta boleh direbah untuk lebih ruang jika diperlukan.

Bumbung panorama, Kawalan Suhu Elektronik (ECC) dua zon dan 13 pembesar suara premium jenama Harman Kardon melengkapi model ini untuk keselesaan sepanjang perjalanan.

Untuk pemanduan, S60 T8 ialah kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dilengkapi enjin berkembar 1,969cc e-AWD T8 petrol dengan pengecas turbo dan pengecas super serta janaan bateri Lithium-Ion 11.6kWh.

Menerusi enjin Drive-E, ia menjana 407hp pada 5,700rpm dan tork 640Nm pada 1,200 hingga 5,400rpm termasuk motor elektriknya menyalurkan tambahan 87hp dan tork 240Nm.

Ini membolehkan pecutan dilakukan daripada 0-100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.4 saat melalui transmisi lapan kelajuan automatik dengan Geartronic.

Melalui pengecasan elektrik penuh, kenderaan ini mampu bergerak sejauh 50 kilometer (km) dan akan bertukar ke bahan api dan hibrid sebaik kuasanya habis.

BERKONGSI platform SPA dengan S90 dan XC60.
BERKONGSI platform SPA dengan S90 dan XC60.

Melalui pengalaman penulis, kenderaan ini bukan sahaja berprestasi, malah kuasa yang disalurkan terutama untuk mod sport sangat mengujakan.

Bagai mencurah-curah tenaga yang dihemburkan, prestasi pengendalian terbaik ditawarkan selain sistem keselamatan paling maju yang terkenal sebagai elemen utama kereta Volvo sejak dahulu.

Antara ciri keselamatan yang ditawarkan ialah Intellisafe yang mencegah dan melindungi keseluruhan penumpang.

Ia mampu mengesan pejalan kaki, pengguna basikal dan haiwan besar.

Ia turut dibantu Kawalan Amaran Pemandu (DAC), Bantu Kekal Laluan (LKA), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dengan Bantu Kendalian, Amaran Trafik Melintas (CTA) dengan Brek Auto serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek Kecemasan (EBA).

KEMASAN dalaman elegan.
KEMASAN dalaman elegan.

Kelengkapan lain ialah Pengendalian Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) dengan Tenaga Roda Pengendalian Boleh Laras, Bantu Mula Bukit (HSA), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Secara keseluruhan, Volvo S60 T8 R-Design ini dibangunkan di atas platform Scalable Product Architecture (SPA) yang turut digunakan untuk model XC60 dan S90.

Rekaan lebih ranggi dan bergaya menjadikan ia pesaing baharu untuk model seperti BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class.

ENJIN 1,996cc T8 dengan PHEV.
ENJIN 1,996cc T8 dengan PHEV.

Ciri keselamatan mantap, prestasi dwi-enjin turbo, teknologi terkini dan keselesaan maksimum adalah pakej untuk model ini yang dipasang di kilang Volvo Shah Alam, Selangor.

Melalui tangki bahan api 60 liter, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 600km bergantung kepada corak dan gaya pemanduan, muatan dan faktor jalan raya.

Untuk pasaran Malaysia empat pilihan warna ditawarkan iaitu merah, hitam, kelabu dan putih serta Volvo S60 T8 R-Design dijual pada harga RM282,540 (atas jalan tanpa insurans dan pengecualian cukai jualan) serta jaminan lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 6:20 AM