Lizam Ridzuan

TIDAK dinafikan model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama Proton iaitu X70 berjaya mengangkat kembali jenama automotif tempatan ini untuk mendapat keyakinan pengguna.

Selain tampil dengan ciri berkualiti, bertepatan pula masanya pasaran segmen SUV sedang meningkat naik, X70 diterima baik dan menjadi pendahulu jualan dalam segmen-C kenderaan ini di Malaysia.

Sebaik diperkenalkan pada penghujung 2018 melalui import sepenuhnya (CBU), model hasil kerjasama strategik bersama Zheijiang Geely Holding Group ini kemudian ditawarkan dengan versi pemasangan tempatan (CKD) di kilang pengeluaran Proton di Tanjong Malim, Perak pada awal tahun ini.

Vroom berkesempatan memandu uji model itu baru-baru ini bagi menilai kemasan dan prestasi terkininya. Bagi bahagian luaran, tiada perbezaan dengan model sebelumnya, namun bagi mudah membezakannya dengan versi sebelum ini ialah X70 2020 adalah model pertama menggunakan logo baharu Proton.

Selain itu, antara perubahan lain yang diberikan ialah pada variannya kini ditawarkan dengan empat pilihan iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium X sebagai tertinggi yang semuanya adalah pacuan dua roda (2WD).

Bermula daripada varian Eksekutif, pintu but belakang didatangkan dengan ciri elektrik yang bukan saja boleh dilaras ketinggiannya malah turut dilengkapi sensor kaki untuk membukanya.

PAPAN pemuka elegan dan ringkas.
PAPAN pemuka elegan dan ringkas.

DILENGKAPI kotak gear 7-kelajuan DCT.
DILENGKAPI kotak gear 7-kelajuan DCT.

Untuk ruang dalaman, bagi dua varian teratas ia dilengkapi kerusi pemandu dan penumpang hadapan ventilasi dengan aliran udara. Kerusi kekal sama dengan balutan kulit Nappa dan untuk pemandu, disediakan enam posisi larasan elektrik manakala penumpang hadapan pula dengan empat posisi termasuk suis 'Boss' bagi kemudahan dan keselesaan melaras.

Untuk penumpang belakang, kerusinya boleh dilaras mengikut keselesaan dan ia adalah ciri terkini selain boleh direbah bagi lebih ruang.

Selain itu, semua varian mengekalkan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI) dan 'Hi Proton' dengan skrin sesentuh bersaiz lapan inci Android serta aplikasi Proton Link bagi maklumat lengkap berkaitan kenderaan itu.

CIRI praktikal kabin.
CIRI praktikal kabin.

Ia turut dipasang aplikasi penstriman muzik, Joox bagi memudahkan carian lagu pilihan dan ia antara pembaharuan yang ditawarkan.

Varian Premium X yang dipandu uji ini turut menerima bumbung panorama sebagai ciri kemewahan yang terdapat pada SUV.

Selain kemasan yang diperkenalkan, paling utama ialah Proton X70 2020 dikuasakan dengan enjin 1.8 liter dengan teknologi Suntikan Terus Bahan Api Pengecas Turbo (TGDI) baharu dengan peningkatan tork sebanyak lima peratus kepada 300Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm dan mengekalkan kuasa kuda 184PS pada 5,500 rpm.

Ia juga menerima trenkuasa kotak gear transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (7DCT) dengan mod manual yang menggantikan 6AT sebelum ini, adalah ciri pembaharuan terpenting untuk model ini.

Ia bukan saja menambah kuasa, pada masa sama meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api sehingga 13 peratus dan diberi penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Mod pemanduan seperti Eco dan Sport membolehkan penulis memilih mengikut corak yang sesuai sama ada bagi tujuan prestasi atau santai.

KERUSI penumpang selesa dan boleh laras.
KERUSI penumpang selesa dan boleh laras.

KOMBINASI meter LCD resolusi tinggi.
KOMBINASI meter LCD resolusi tinggi.

Melalui pemerhatian ketika pemanduan, antara perbezaan kotak gear DCT ialah ia memberi tindak balas pantas sebaik mahu memecut atau menukar lorong dan lebih lancar ketika pertukaran gear itu sendiri.

Selain itu, daripada segi pengendalian, menerusi topang MacPherson Strut hadapan dan Multi-Link dengan penstabilan untuk belakang, ia cukup selesa melalui jalan raya atau tidak rata malah laluan 'off-road' sederhana.

Selain itu, ciri keselamatan terbaik turut ditawarkan seperti Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) meliputi sembilan sensor dan lima kamera bagi melindungi keseluruhan penumpang.

Ia turut dipasang sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Membrek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS), Amaran Pelepasan Laluan (LDW), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), enam beg keselamatan SRS dan banyak lagi.

BUMBUNG panorama.
BUMBUNG panorama.

Secara keseluruhan, Proton X70 2020 ini adalah kesinambungan versi sebelumnya yang tampil dengan ciri berkualiti dan rekaan menarik. Lampu projektor dengan logo Proton baharu yang terpancar pada waktu malam sebaik membuka pintu adalah ciri premium pada SUV ini.

Sistem sembilan pembesar suara Kenwood, enam port pengecas USB, sistem penapis udara, roda stereng pelbagai fungsi larasan melengkapi SUV ini.

Sesuai kekal berhubung dengan kenderaan, ia juga boleh disambungkan ke aplikasi Proton Link menjadikan ia sebagai elemen kenderaan pintar bagi fungsi kawalan jarak jauh hanya menerusi telefon pintar.

Untuk pasaran, Malaysia sebagai varian tertinggi, Proton X70 Premium X 2WD dijual pada harga RM115,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Untuk varian lain, ia dijual pada harga RM89,900 (Standard), RM101,000 (Executive) dan RM113,000 (Premium). Semua harga selepas pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020.

GAYA rekaan SUV sporty
GAYA rekaan SUV sporty

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:45 AM
PROTON X70 2020
PROTON X70 2020