GAYA prestasi jalanan dan litar.
GAYA prestasi jalanan dan litar.
Lizam Ridzuan

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan varian kedua model BMW S1000RR Pure baharu, motosikal berkuasa tinggi dan ikonik untuk jenama itu.

Model ini yang mendominasi arena perlumbaan lebih sedekad lalu, antaranya Raja Isle of Man TT, dilancarkan untuk pasaran tempatan tahun lalu menerusi varian M Package.

Untuk model baharu ini, ia masih mengekalkan ciri sama dengan kerangka Flex yang membentuk tangki bahan api lebih langsing seterusnya menyerlahkan gaya dinamik untuk penanda aras dalam segmennya.

Lampu hadapan teknologi LED sebagai pencahayaan standard selain lampu belakang yang digabungkan dengan lampu brek dan membelok dalam satu unit kompak menambah kehebatan jentera ini.

Jentera ini dikuasakan dengan enjin 999cc empat silinder bersilang sebaris yang menghemburkan kuasa 207 hp pada 13,500 rpm dan tork 113Nm pada 11,000 rpm dengan kelajuan maksimum melebihi 200 kilometer/sejam (km/j).

Sistem pacuan rantai ini juga didatangkan dengan teknologi BMW ShiftCam untuk variasi pemasaan injap dan lejang injap pada komponen salur masuk.

METER TFT 6.5 inci termaju.
METER TFT 6.5 inci termaju.

ENJIN 999cc empat silinder.
ENJIN 999cc empat silinder.

Selain itu, untuk disesuaikan dengan gaya tunggangan, empat mod disediakan iaitu Rain, Road, Dynamic dan Dynamic Pro.

Ia bagi mengawal fungsi seperti Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Pro terutama ketika posisi mengiring selain BMW Motorrad Integral ABS untuk membekalkan tahap prestasi lebih tinggi.

Untuk memulakan tunggangan di kawasan yang berbukit, Kawalan Permulaan Bukit disediakan selain penukaran gear tinggi dan rendah boleh dibuat dengan pantas tanpa klac melalui HP Shift Assistant Pro.

BMW S1000RR Pure juga dilengkapi instrumen meter TFT bersaiz 6.5 inci selain pengemudi pelbagai pada panel pemegang sebelah kiri.

Ia juga lengkap dengan ciri ketersambungan ke telefon pintar sama ada untuk membuat panggilan telefon atau memainkan lagu kegemaran.

Ciri lain pada model ini ialah alat pengesan jatuh sebagai standard, tuil klac dan brek tangan boleh laras, pemegang nombor pendaftaran yang boleh ditanggalkan sesuai bagi tujuan tunggangan dalam litar.

BMW S1000RR baharu dijual pada harga RM116,500 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan tiga tahun dan program bantuan jalanan oleh BMW Motorrad Malaysia.

BMW S1000RR baharu diperkenalkan untuk pasaran tempatan.
BMW S1000RR baharu diperkenalkan untuk pasaran tempatan.

TANGKI lebih tirus untuk posisi dinamik.
TANGKI lebih tirus untuk posisi dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 7:00 AM