Lizam Ridzuan


BAYANGKAN memandu kereta ini di tepi pantai pada lewat petang dengan bumbungnya terbuka.

Sekali-sekala, wajah ditiup angin. Deruan angin pula menyentuh wajah malah suasana sunyi ada kalanya dipecahkan dengan deruman enjin.

Itulah gambaran awal penulis mengenai kenikmatan memandu Ferarri Portofino yang dilancarkan pada 2018 di Malaysia.

Vroom berkesempatan melakukan pandu uji model Grand Tourer (GT) convertible ini, diambil namanya bersempena sebuah bandar di Itali yang terkenal dengan pemandangan indah di tepi laut.

Portofino adalah model yang dibina bagi menggantikan Ferrari California T dengan casisnya 80 kilogram (kg) lebih ringan.

Ia juga bercirikan aerodinamik malah menerima pengiktirafan sebagai Kereta Cabrio Terbaik 2019.

GAYA Grand Tourer (GT) prestasi.
GAYA Grand Tourer (GT) prestasi.

Bahagian depannya dilengkapi lampu LED gaya horizontal manakala bahagian luarannya dilengkapi lorong bagi kemasukan angin lebih efisien yang dialirkan terus ke sisi kenderaan.

Bampar hadapan pula cukup ‘cantik’ dengan gril radiator luas malah logo ‘Prancing Horse’, meskipun ringkas, sudah cukup menyerlahkan status sang pemiliknya.

Juga pada bahagian belakang, ciri ikonik lampu dan bampar dua tona dengan padanan empat ekzos mempamerkan elemen prestasinya.

Sebagai model ‘retractable hard top’ (RHT) yang direka semula, bumbungnya boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 14 saat.

Ia juga boleh dilakukan ketika kenderaan bergerak dalam kelajuan rendah.

Untuk tampil lebih menawan, rim aloi 20 inci menjadi kombinasi padanan yang menarik dalam menyerlahkan gaya GT sporty padanya.

REKAAN ciri aerodinamik.
REKAAN ciri aerodinamik.

Menjengah ke ruang dalaman, perkara yang membuatkan penulis teruja ialah Portofino adalah model GT pertama dilengkapi Stereng Kuasa Elektrik (EPS) seperti jentera formula satu (F1) Ferrari dengan pelbagai butang fungsi tersedia termasuk untuk menghidupkan enjin.

Roda stereng ‘flat bottom’ ini juga menyediakan butang lampu isyarat, larasan suspensi, mod pemanduan, menjawab panggilan telefon dan pedal tukaran gear.

Pada konsol tengah, tiada tuil gear, namun terdapat butang undur, mod auto, lampu kecemasan dan ‘launch’ (mod perlumbaan drag).

Model dengan 2+2 tempat duduk ini lebih sesuai untuk dua penumpang yang mana kerusi belakang hanya ideal bagi kanak-kanak atau meletak barangan.

Sesuai dengan ciri sport mewah, ia disertakan dengan sistem hiburan dan maklumat skrin sesentuh bersaiz 10.2 inci, tempat duduk 18 larasan elektrik, paparan kelajuan untuk penumpang dan penghadang yang mengurangkan kemasukan angin sehingga 30 peratus jika bumbung dibuka.

KONSEP 2+2 kemasan mewah.
KONSEP 2+2 kemasan mewah.

Pada bahagian cermin pandang belakang, terdapat suis untuk membuka dan menutup bumbung malah ia mudah dikendalikan.

Pada ruang but, ia boleh memuatkan tiga beg perjalanan.

Pemanduan bagi model ini cukup menarik buat kereta ini apabila ia dilengkapi enjin depan 3.8 liter V8 Turbo.

Enjin ini mampu menghemburkan kuasa kuda 600 PS pada 7,500 rpm dan tork 760Nm pada 3,000 hingga 5,250 rpm.

Enjin pacuan roda belakang ini, memenangi Anugerah Enjin Terbaik pada 2016 dan 2017.

Pengendalian yang mantap dan tenaga responsif dihasilkan menjadikan penulis tidak sedar sebenarnya sudah memandu cukup laju hasil sistem enjin ‘Variable Boost Management’ yang dikawal oleh perisian bagi menyalurkan tork bersesuaian dengan kedudukan gear.

Dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan dwi-klac F1, terutama pada gear tiga hingga tujuh, jumlah tork dihasilkan akan meningkat sehingga 760Nm bagi ratio gear lebih panjang untuk tenaga bahan api dan emisi lebih efisien.

Bunyi enjin dihasilkan ekzos Porotofino adalah ciri sporty Ferrrari unik dengan setiap model mempunyai akustik tersendiri.

ENJIN turbo V8.
ENJIN turbo V8.

Secara keseluruhan, Ferrari Portofino menawarkan segmen GT dengan bentuk yang menawan didatangkan dengan ciri bumbung convertible RHT.

Meskipun cuaca dan iklim di negara ini tidak begitu sesuai dengan ciri sebegitu, ia adalah pilihan jika mahu tampil berbeza serta bergaya.

Selain ciri keselamatan terbaik, prestasi ditawarkan termasuk kawalan Program Kestabilan Elektronik (ESP) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan transmisi F1.

Kereta ini juga mampu memecut sehingga 320 kilometer/sejam (km/j).

Untuk prestasi sebegitu, ia didatangkan dengan empat beg udara, tali pinggang ‘Pretensioners’ dan sistem brek anti-kunci (ABS) melalui brek cakera seramik karbon.

Sudah pasti ia menjadi pilihan buat golongan atasan yang mahukan kenderaan sesuai bagi kegunaan hujung minggu dan pada masa sama boleh dibawa ke tengah kota pada hari biasa.

Ruang dalaman selesa dan but belakang berfungsi untuk bagasi dan simpanan bumbung sesuai buat yang mahukan perjalanan atau bercuti pada hujung minggu.

Selesa dengan ciri ketersambungan termaju, kemasan mewah disajikan yang boleh disesuaikan dengan cita rasa pemiliknya termasuk warna jahitan pada tempat duduk.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM948,000 (sebelum cukai).

Tempoh menunggu ialah setahun sebelum boleh memandunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 7:00 AM