PERASMIAN Pusat Latihan Serantau Volvo Car.
PERASMIAN Pusat Latihan Serantau Volvo Car.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

PERKEMBANGAN jenama dan hasil jualan memberangsangkan menjadi elemen utama penyediaan kepakaran teknikal dan bukan teknikal oleh Volvo Car Malaysia yang melancarkan Pusat Latihan Serantau Volvo Car, baru-baru ini.

Terletak di Menara Symphony, Seksyen 13, Petaling Jaya, ia bertujuan menyediakan latihan untuk 7,500 jam kerja bagi kakitangan dan pengedar Volvo di seluruh Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, Malaysia dijadikan hab kerana kesesuaiannya dengan elemen infrastruktur yang baik dan tenaga kerja tempatan berkemampuan untuk fungsi kepakaran.

“Sebagai pusat latihan, ia turut menawarkan perkhidmatan perkongsian lain seperti kluster kewangan, hab teknikal dan perolehan untuk perkhidmatan eksport lebih RM100 juta dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang,” katanya ketika majlis perasmian itu.

Volvo komited bagi meningkatkan pengalaman pemilikan yang lebih baik buat pelanggan dengan kru selepas jualan yang terlatih.

VOLVO tingkat pengalaman pemilikan pelanggan.
VOLVO tingkat pengalaman pemilikan pelanggan.

Ia juga selaras dengan penggunaan perisian Volvo Personalised Service (VPS) yang 90 peratus pusat pengedar Volvo kini menggunakan perisian berkenaan.

“Sebagai pembuat kereta premium, kami bukan sekadar menghasilkan unit mobiliti kepada pengguna malah mementingkan pengalaman pelanggan untuk membina kepercayaan terhadap jenama ini,” katanya.

Ini dibuktikan pada 2019 apabila Volvo mempamerkan prestasi memberangsangkan sebagai jenama antarabangsa dengan mencatatkan jualan melebihi 700,000 unit di seluruh dunia dengan negara ini mencatatkan jualan 1,883 unit.

Meskipun segmen kenderaan premium di Malaysia mengalami perkembangan kurang memberangsangkan, Volvo berjaya mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 36.1 peratus bagi 2019.

Tiga model terkini iaitu Volvo XC40 T5 CKD, S60 T8 dan XC90 baharu serta lima pusat jualan terbaharu dibuka memberi kesan kepada prestasi jualan serta mengukuhkan perkongsian pasaran Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV).

Volvo Car Group pula mempunyai misi kelestrian alam dalam penghasilan model baharu akan datang dengan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2025 dan karbon neutral pada 2040.

SUASANA ruang pameran sebenar disediakan.
SUASANA ruang pameran sebenar disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 7:00 AM