Saipul Adli Mohamad


SEMUANYA serba rahsia dan bagi menjaga kerahsiaan teknologi terkini dibangunkan, tiada gambar atau video dibenar dirakam di kilang Mugen di Asaka, Jepun.

Penulis merasai pengalaman itu ketika menyertai rombongan media bersama Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) melawat kilang itu sempena kunjungan edisi ke-46 Tokyo Motor Show (TMS) 2019 di Tokyo, 23 Oktober lalu.

Mugen pengeluar jentera perlumbaan iaitu kereta dan motosikal bagi Honda, begitu juga dengan kenderaan elektrik.

Di Malaysia, HMSB menawarkan produk dihasilkan jenama itu bagi beberapa model mereka seperti Civic, HR-V dan Jazz.

MOTOSIKAL yang mendapat sentuhan Mugen. FOTO NSTP
MOTOSIKAL yang mendapat sentuhan Mugen. FOTO NSTP

Syarikat Mugen Motorsport diasaskan Hirotoshi Honda iaitu anak kepada pengasas Honda Motor Company, Soichiro Honda pada 1973.

Pada tahun sama, Mugen dilahirkan sebagai pengeluar enjin perlumbaan dan perintis dalam sukan permotoran Jepun.

Namun, pada 2004, penstrukturan semula syarikat dilakukan dengan nama ditukar kepada M-TEC Co Ltd, tetapi nama Mugen masih kekal sebagai tanda dagangannya.

Sepanjang 45 tahun, Mugen merangkul pelbagai gelaran di peringkat domestik dan antarabangsa dengan paling utama muncul juara empat kali Grand Prix Formula Satu pada era 1990-an.

AKIHIRO Kojima. FOTO NSTP
AKIHIRO Kojima. FOTO NSTP

Pengurus Besar M-TEC Co Ltd Akihiro Kojima berkata, syarikat itu mempunyai 220 tenaga kerja di seluruh dunia dan mempunyai empat ibu pejabat iaitu dua di Jepun dan masing-masing satu di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, M-TEC dibahagikan kepada jabatan Sukan Permotoran, Pembuatan dan Produk dengan setiap satunya menyumbang kira-kira 33.3 peratus kepada pendapatan syarikat.

“Jabatan Sukan Permotoran menghasilkan jentera lumba seperti perlumbaan Super GT 500 dan Japanese Super Formula selain membina motosikal tenaga elektrik untuk menyertai cabaran Isle of Man TT Race TT Zero.

TEKNOLOGI Mugen pada jentera yang dipamerkan di kilang Mugen. FOTO NSTP
TEKNOLOGI Mugen pada jentera yang dipamerkan di kilang Mugen. FOTO NSTP

“Bagi cabaran Isle of Man TT Race TT Zero, jentera yang kami bangun memenangi lima pertandingan berturut-turut sejak 2014 sehingga 2018.

“Bagi Jabatan Pembuatan, kami ada kilang dan mesin untuk hasilkan komponen berprestasi dalam enjin seperti conrod dan blok namun ia hanya dibuat untuk jentera lumba.

“Setiap enjin lumba memerlukan seminggu untuk dipasang dengan dua tenaga kerja diperlukan bagi menyiapkannya dengan harganya boleh mencecah RM800,000,” katanya.

ENJIN  Honda yang dipamerkan di kilang Mugen. FOTO NSTP
ENJIN Honda yang dipamerkan di kilang Mugen. FOTO NSTP

Jabatan Produk pula membabitkan penghasilan aksesori kenderaan dipandu di jalan biasa iaitu kit badan, komponen gentian karbon serta barangan berprestasi seperti ekzos juga brek.

Menurut beliau, pihaknya turut menjual kenderaan lengkap dengan komponen Mugen seperti Mugen RR (Civic), Mugen RZ (CR-Z) dan Mugen RA (S660).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:01 AM