PULSAR NS160.
PULSAR NS160.
Lizam Ridzuan

SESUAI sebagai motosikal untuk rakyat, dua model baharu diperkenalkan oleh Modenas iaitu Kriss 110 dan Pulsar NS160.

Kriss 110 adalah motosikal ‘moped’ yang dikuasakan enjin 108cc empat lejang SOHC satu silinder.

Enjin itu berdaya menghasilkan kuasa 4.7 bhp pada 8,000 rpm dan ia mematuhi piawaian Euro 3.

MODENAS Kriss 110 baharu.
MODENAS Kriss 110 baharu.

Penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) juga diberikan kepada model dengan tangki bahan api 4.2 liter itu.

Walaupun hanya 4.2 liter, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 200 kilometer (km).

Ciri lain ialah set rim aloi 17 inci, ruang simpanan bawah tempat duduk 6.6 liter, serta reka bentuk lampu hadapan dan belakang sporty.

RUANG simpanan 6.6 liter.
RUANG simpanan 6.6 liter.

Ciri standardnya membabitkan suspensi hadapan teleskopik, penyerap hentak dwikejutan, brek hadapan dan belakang menggunakan gelendong selain kotak gear empat kelajuan ‘rotary’.

Dengan warna pilihan sama ada hitam, biru atau kuning, ia dipasangkan speedometer kompak kemasan karbon, lampu isyarat LED serta grafik hiasan bercorak ranggi.

KEMASAN karbon untuk meter Kriss.
KEMASAN karbon untuk meter Kriss.

Motosikal street Pulsar NS160 pula dengan enjin 160.3cc suntikan bahan api DTSI Bosch yang menjana kuasa 15.20 bhp pada 8,500 rpm dan daya tork 14.6 Nm pada 6,500 rpm.

Ia dilengkapi penyerap hentakan belakang tunggal Nitrox, lampu hadapan, belakang dan membelok LED serta tangki bahan api 12 liter dengan dua pilihan warna iaitu putih dan biru.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, kedua-dua model itu adalah sebahagian daripada segmen pengenalan dan pertengahan bagi memperluaskan lagi penawaran motosikal untuk pengguna Malaysia.

MODEL street mampu milik.
MODEL street mampu milik.

“Kriss yang diperkenalkan pada 1995 di Malaysia sudah terjual lebih 800,000 unit dan motosikal street (Pulsar, V15 dan Dominar) pula kira-kira 10,000 unit.

“Menerusi pengenalan Kriss 110 dan Pulsar NS160, ia akan mempertingkatkan lagi perkongsian pasaran moped dan street tempatan Modenas,” katanya.

Untuk pasaran Malaysia, Kriss 110 dijual pada harga RM3,377 dan Pulsar NS160 pula berharga RM7,577 atas jalan tanpa insurans.

Ia didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:01 AM