Lizam Ridzuan

DI Malaysia, Toyota Rush memasuki pasaran tempatan pada 2008.

Melalui model import sepenuhnya (CBU) pada ketika itu, ia terjual lebih 18,000 unit.

Ia dikenali sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) urban yang direka untuk gaya lasak dan praktikal.

Selepas 10 tahun, ia kembali dengan Toyota Rush Serba Baharu. Ia diperkenalkan di Malaysia penghujung tahun lalu selain berkongsi platform dan rekaan sama dengan Perodua Aruz.

Seperti sedia maklum, Toyota Motor Corporation adalah pemilik jenama Daihatsu dan perkongsian model ini diperkenalkan sebagai strategi pemasaran mereka.

Vroom Metro Ahad berkesempatan menguji model varian S yang juga varian premium. Satu lagi varian yang diperkenalkan ialah varian G.

Melihat pada rekaan luaran, ia menyerlahkan ciri SUV daripada segmen B dengan pendekatan gaya hidup ranggi-aktif.

Bentuk yang lebih menarik serta elegan sebagai penanda aras keluaran Toyota juga ada pada model ini.

SUV urban bergaya. FOTO Saddam Yusoff
SUV urban bergaya. FOTO Saddam Yusoff

Berbanding generasi pertama, ia tampil dengan saiz dan ruang lebih luas selain imej juga garis badan lebih tajam dikenali sebagai 'R-Blade'.

Bilah krom pada rekaan gril hadapan selain lampu hadapan nipis dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) menambah gaya sporty.

Pada bahagian bawah, ia didatangkan dengan garis krom berbentuk trapezoid seterusnya menambah visual kestabilan dengan kesinambungannya diterapkan pada bahagian sisi dan belakang.

Penerapan imej dua tona menambah gaya futuristik. Aerokit yang dipasang pada keseluruhan badan pula adalah ciri standard model Rush.

Pintu but dengan spoiler atas, perumah dan lampu belakang LED melintang juga antara elemen dan ciri terbaharunya.

Turut disediakan ialah rel berprofil rendah pada bumbung untuk membawa muatan tambahan.

Rush dipadankan dengan rim aloi 17 inci dua tona selain bilah turbin. Tayar dwi kegunaannya pula bersaiz 215/60.

REKAAN hadapan dengan gaya R-Blade. FOTO Saddam Yusoff
REKAAN hadapan dengan gaya R-Blade. FOTO Saddam Yusoff

Menyentuh mengenai rekaan dalaman, ia tampil lebih moden dan premium hasil gabungan kemasan hitam, krom dan putih.

Elemen kulit juga terdapat pada stereng dan tuil gear bagi varian ini selain keseluruhan kerusi.

SUV ini menawarkan kapasiti tujuh tempat duduk tetapan 2-3-2 dengan tiga barisan. Ia adalah ciri penting menjadikan kenderaan ini lebih fleksibel.

Nisbah 60:40 bagi lipatan tempat duduk baris kedua dan 50:50 bagi baris ketiga memudahkan ia membawa muatan mengikut keperluan.

Jika baris ketiga tidak digunakan, ruang kargonya mampu memuatkan sehingga 217 liter.

Sekiranya dilipat sepenuhnya, ia mampu memuatkan sehingga 514 liter.

Mod automatik penyaman udara membolehkan semua penumpang merasai kedinginan dengan lebih baik melalui penyediaan lorong udara yang boleh dilaras terletak di bahagian siling selain hadapan.

RUANG kabin sentuhan elegan. FOTO Saddam Yusoff
RUANG kabin sentuhan elegan. FOTO Saddam Yusoff

Sistem infotainmen DVD-AVX bersaiz 6.8 inci skrin sesentuh dengan Bluetooth boleh memainkan muzik dari sumber media lain.

Ketersambungan telefon pintar dengan menggunakan kabel membolehkan ‘pencerminan’ dilakukan untuk menjawab atau membuat panggilan telefon.

Melalui sambungan itu juga, sistem navigasi tersedia akan digantikan dengan aplikasi yang terdapat pada telefon bagi kemudahan pencarian lokasi tujuan.

Bukan itu saja, skrin ini juga dilengkapi kamera undur dan parkir menerusi Monitor Paparan Panorama (PVM) empat kamera seterusnya memberikan visual yang jelas.

Sebagai ciri standard, Rush juga didatangkan dengan Toyota AutoTag binaan dalam seumpama 'Smart Tag' bagi kemudahan sistem pembayaran elektronik di lebuh raya dengan kad Touch n Go.

KESELESAAN untuk penumpang. FOTO Saddam Yusoff
KESELESAAN untuk penumpang. FOTO Saddam Yusoff

Sesuai sebagai SUV keluarga, ia turut didatangkan dengan soket dua pengecas konvensional 12V (satu terletak pada baris ketiga) dan dua sambungan USB terletak pada konsol hadapan dan tempat duduk pemandu.

Tiga belas ruang meletak minuman disediakan selain sistem kemasukan pintar pada pintu hadapan yang boleh dibuka dengan hanya menyentuh butang pada pembuka pintu.

Menyentuh mengenai pemanduan Toyota Rush Serba Baharu ini, ia dikuasakan dengan enjin baharu Toyota 2NR-VE dengan kapasiti enjin 1.5 liter DOHC Dual-VVTi.

Ia menjana kuasa sehingga 105PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 136Nm pada 4,200 rpm dengan fungsi Henti-Mula Automatik bagi penggunaan bahan api lebih efisien.

Toyota Rush ini menerima penarafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di bawah Polisi Automotif Kebangsaan Malaysia.

SISTEM infotainmen skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci. FOTO Saddam Yusoff
SISTEM infotainmen skrin sesentuh bersaiz 6.8 inci. FOTO Saddam Yusoff

Melalui transmisi automatik empat kelajuan pacuan roda belakang, walaupun pertukaran gear untuk memintas kenderaan tidak begitu responsif, namun ia bergerak lancar jika pedal minyak ditekan dengan berhemah.

Namun, jika menuruni bukit ada kala ia seakan-akan melahu menanti penukaran ke kedudukan gear yang lebih sesuai untuk beberapa saat sebelum kembali lancar.

Pada kelajuan tinggi, dapat dirasakan Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) dikurangkan pada model ini dengan sistem gantungan serta komponen transmisi yang ditambah baik.

Secara keseluruhan, pada harga bawah RM100,000, Toyota Rush Serba Baharu adalah SUV yang sangat menarik.

Melalui keselesaan dan ciri praktikal yang ditawarkan, ia boleh disesuaikan dengan pelbagai tujuan aktiviti sama ada kegunaan harian atau berhujung minggu dengan keluarga selain melakukan aktiviti lasak.

Jarak kelegaan jalan setinggi 220 milimeter (mm) sangat membantu terutama ketika melalui permukaan tidak rata dan lasak sederhana atau mengharungi banjir kilat serta laluan berair sehingga 600 milimeter (mm).

ENJIN 1.5 liter tawar penjimatan bahan api. FOTO Saddam Yusoff
ENJIN 1.5 liter tawar penjimatan bahan api. FOTO Saddam Yusoff

Sistem keselamatan terbaik turut disediakan di mana Rush Serba Baharu ini menerima penarafan lima bintang untuk Program Pemeriksaan Kereta Baharu Asean (NCAP) dengan enam beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA), Monitor Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Melintas Belakang.

Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) untuk varian S ini dilengkapi empat ciri utama iaitu Amaran Pelanggaran Hadapan, Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Pelepasan Hadapan dan Kawalan Nyah-Operasi Pedal.

Dengan tangki bahan api diisi penuh 45 liter, ia mampu mengembara sehingga 450 kilometer dengan lima penumpang berserta barangan.

Lima warna ditawarkan iaitu putih, perak metalik, biru metalik, hijau gelap metalik dan kelabu gelap metalik.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Rush Serba Baharu dijual pada harga RM97,000 (1.5S) dan RM93,000 (1.5G) (atas jalan tanpa insurans) termasuk jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan. #vroomHM.

TOYOTA RUSH SERBA BAHARU

• ENJIN: 1,496cc DOHC dual VVT-i

• KUASA MAKSIMUM: 105PS pada 6,000 rpm

• TRANSMISI: Empat kelajuan automatik

• TORK MAKSIMUM: 136Nm pada 4,200 rpm.

• KAPASITI BAHAN API: 45 liter

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan Kawalan Cengkaman (TRC), Bantu Mula-Bukit (HSA) dan Monitor Titik Buta (BSM) dan Amaran Trafik Melintas Belakang.

• HARGA: RM97,000 (1.5S) dan RM93,000 (1.5G)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:30 AM