Mohd Razlan Salleh

SELEPAS mencetuskan fenomena jentera 1.5L turbo di pasaran tempatan, Honda Malaysia bakal memperkenalkan versi dipertingkatkan untuk model popular mereka, Civic.

Kesempatan penulis memandu uji jentera popular di seluruh dunia itu di Bangkok, Thailand, baru-baru ini, sudah memadai mengandaikan ia antara terbaik dalam kelasnya.

Masih mengekalkan nadi kuasa 1.5L VTEC Turbo, ia menawarkan kuasa maksimum 173 PS dan tork maksimum 220 NM, Civic Baharu kini dilengkapi teknologi keselamatan termaju, Honda SENSING.

Buat pengetahuan, Honda SENSING sebelum ini hanya ditawarkan pada model pemasangan tempatan (CKD) Accord dan CR-V.

Sekilas lalu, Honda SENSING merangkumi ciri seperti Kawalan Pemanduan Adaptif (ACC) dengan Kemampuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM), Amaran Penukaran Laluan (LDW), Bantuan Suluh Tinggi Automatik (AHB) dan sistem kamera Honda LaneWatch.

Bahasa mudahnya, teknologi ini membolehkan kenderaan mengawal secara bersama dengan pemandu terutama membabitkan situasi tidak dijangka.

PADANAN lampu hadapan dan lampu kabus LED.
PADANAN lampu hadapan dan lampu kabus LED.

Antaranya, LSF membolehkan kenderaan bergerak, berhenti dan memecut mengikut kelajuan kenderaan di hadapan seperti ditetapkan pemandu manakala CMBS membolehkan kenderaan berhenti secara automatik sekiranya mengesan halangan statik di hadapan. Pintar, bukan?

Ujian ringkas mengenai Honda SENSING yang ada pada model Civic Baharu ini di kilang terbaharu Honda di Prachinburi membuktikan jentera ini mampu mengelakkan kemalangan.

Semua fungsi berkenaan dikawal teknologi radar dan kamera di hadapan model ini.

Terdahulu, kilang baharu Honda di Prachinburi memfokuskan model Civic, Jazz dan City untuk pasaran Asia dan Oceania.

Sesi pandu uji ringkas dilakukan membabitkan jarak hampir 200 kilometer dengan memandu Civic Baharu dari Prachinburi ke Bangkok.

Walaupun dalam hujan lebat, Honda SENSING membantu pemandu mengawal kenderaan terutama ketika mula memasuki Bangkok yang sememangnya terkenal dengan kesibukan dan kesesakan jalan raya.

MEDIA yang berkesempatan memandu uji Honda Civic Baharu di Bangkok, baru-baru ini.
MEDIA yang berkesempatan memandu uji Honda Civic Baharu di Bangkok, baru-baru ini.

Berbalik pada model Civic Baharu, beberapa ciri luaran pula ditambah baik antaranya signatur ‘Honda Wing’ berwarna hitam berbanding kemasan krom pada model terdahulu.

Selain itu, bahagian bampar menerima kemasan yang lebih lebar dengan trim berwarna hitam di bahagian lampu kabus hadapan.

Ruang belakang pula dilengkapi spoiler dan bampar dikemaskinikan dengan kemasan krom di bahagian bawah.

BAHAGIAN belakang lebih segar dengan spoiler dan kemasan krom di bahagian bawah.
BAHAGIAN belakang lebih segar dengan spoiler dan kemasan krom di bahagian bawah.

Pelengkap kepada varian ini ialah rim aloi rekaan baharu bersaiz 18 inci berwarna gelap.

Penulis difahamkan, Civic Baharu akan dilancarkan di pasaran tempatan dalam suku keempat tahun ini, besar kemungkinan bulan hadapan.

Malah, Honda Malaysia sudah membuka tempahan untuk varian terbaharu ini sejak minggu lalu dan kehadirannya di pasaran tentu mengukuhkan penguasaan jenama ini bagi segmen C.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:00 AM