BARISAN pelumba SRT 2019. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BARISAN pelumba SRT 2019. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Lizam Ridzuan

Pasukan MotoGP baharu negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), dilancarkan baru-baru dan bakal bersaing pada perlumbaan musim 2019 yang memulakan saingan bulan depan.

Satu majlis memperkenalkan jentera dan pasukan diadakan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang turut dihadiri pengurusan tertinggi Petronas sebagai penaja utama.

Pengerusinya Datuk Ahmad Nizam Salleh, mempertontonkan jentera perlumbaan terbaharu dengan warna korporat Petronas yang juga pasukan pertama di Asia Tenggara dengan penyertaan lengkap kategori daripada MotoGP, Moto2 dan Moto3.

Pasukan SRT MotoGP akan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 dengan spesifikasi yang sama dengan edisi ‘factory outfit’ hasil kerjasama rapat bersama Yamaha Motor Co Ltd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pembabitan mereka dalam sukan permotoran sudah mencapai usia sedekad melalui Formula 1 dan MotoGP.

“Kerjasama ini mengangkat jenama Petronas dalam usaha melahirkan pelumba bertaraf dunia daripada cub prix sehingga MotoGP yang memberi manfaat pertukaran teknologi bahan api dan minyak pelincir dalam mengukuhkan jenama Petronas di seluruh dunia,

“Kami juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan ini untuk menghasilkan formulasi terbaik bagi kegunaan jentera berprestasi tinggi” katanya ketika pelancaran pasukan.

Pelumba juga sudah mula membiasakan diri dengan jentera baharu dan untuk mengukuhkan prestasi pasukan ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada pertengahan minggu lalu sudah dijalankan.

Pasukan MotoGP bakal dibarisi Franco Morbidelli dari Itali yang memasuki musim kedua dalam MotoGP bersama pelumba paling muda, Fabio Quartararo dari Perancis berusia 19 tahun.

Untuk kategori Moto2 pelumba negara, Khairul Idham Pawi bakal membawa cabaran pasukan Petronas Sprinta Racing menggunakan jentera dengan casis Kalex dan enjin Triumph 765 cc.

Moto3 menampilkan dua pelumba, Ayumu Sasaki dari Jepun dan John Mcphee dari Scotland, dengan menunggang jentera Honda 250cc.

Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team akan dikendalikan oleh Wilco Zeelenberg sebagai pengurus pasukan dibantu 28 kru teknikal dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali sebagai prinsipal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:01 AM