KEIICHI  (kiri) dan  Pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing   bersama motosikal baru keluaran Honda CB1100 RS pada majlis memperkenalkan motosikal Honda CB1100 RS di Colosseum Event, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad
KEIICHI (kiri) dan Pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing bersama motosikal baru keluaran Honda CB1100 RS pada majlis memperkenalkan motosikal Honda CB1100 RS di Colosseum Event, Shah Alam. FOTO Syarafiq Abd Samad
Hazwan Faisal Mohamad

BOON Siew Honda Sdn Bhd melancarkan tiga motosikal baharu untuk pasaran tempatan bagi 2019 iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS.

Super Cub C125 dijual pada harga RM13,999, CBR1000RR Fireblade SP (RM114,999) dan CB1100 RS pada RM75,999, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Ketiga-tiga model itu boleh didapati di semua rangkaian pengedar Boon Siew Honda menjelang akhir bulan ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual 300 Super Cub C125 pada tahun ini dan masing-masing 50 unit bagi CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS.

Katanya, pihaknya membawa masuk model Super Cub C125 ke pasaran tempatan pada tahun ini selepas menerima permintaan tinggi daripada pengguna di negara ini pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran ketiga-tiga model baharu itu.

Super Cub C125 hadir dengan penyejuk udara bersesaran 125 cc dan enjin SOHC empat lejang dengan sistem suntikan bahan api yang mampu menjana kuasa 6.79 kW pada 7,500 rpm bersama tork maksimum 9.98 Nm pada 5,000 rpm.

Ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Niltava Blue, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black.

Sementara itu, Honda Fireblade SP membawakan konsep next stage total control ke tahap yang berlainan berbading Fireblade.

Ia dikuasakan enjin empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,000 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 141 kW pada 13,000 rpm dan tork 114 Nm pada 11,000 rpm.

Fireblade SP didatangkan denga pelekat HRC Tricolor bersama jalur berwarna putih dan biru.

Bagi model CB1100 RS yang mempunyai gaya seperti motosikal sport 70-an, ia tampil dengan tangki minyak yang dihasilkan tanpa kesan pateri dan kehalusan pertukangan tangan.

Ia ditawarkan dua warna pilihan iaitu hitam metalik dan perak metalik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 1:53 PM