PILIHAN warna Honda Vario 150.
PILIHAN warna Honda Vario 150.
Lizam Ridzuan

Pasaran dalam segmen motosikal transmisi automatik (AT) di negara ini kini semakin berkembang terutama yang berkuasa lebih tinggi sesuai buat perjalanan dalam bandar dengan pengendalian mudah dan pantas.

Untuk menambah pilihan dan menyasarkan mereka yang mahukan skuter sporty terbaru, Honda Vario 150 dilancarkan baru-baru ini oleh pengedar utamanya di negara ini, Boon Siew Honda Sdn Bhd.

Model pemasangan tempatan itu yang dijana enjin 150cc silinder tunggal empat lejang sistem sejukan cecair mampu menjana kuasa 13.1PS pada 8,500rpm dan daya kilas 13.4Nm pada 5,000rpm dilengkapi teknologi Enhanced Smart Power (eSP) dan Sistem Brek Combi (CBS) bagi keselamatan tambahan.

PANEL meter digital LCD.
PANEL meter digital LCD.

Vario 150 juga didatangkan dengan Sistem Henti Melahu (ISS) yang akan mematikan enjin motosikal secara automatik ketika di simpang lampu isyarat dan akan dihidupkan kembali sebaik pendikit dipulas bagi tujuan penggunaan bahan api efisien.

Untuk rekaan sporty ia dipasang dengan dwilampu hadapan dan belakang LED yang bergaya dan jelas serta rak dalaman berkembar untuk ruang storan kecil.

LAMPU LED belakang kombinasi ikonik.
LAMPU LED belakang kombinasi ikonik.

Paparan panel meter digital LCD berteknologi tinggi untuk maklumat perjalanan seperti penggunaan bahan api, jam digital, meter kelajuan, meter perjalanan, penggantian minyak enjin dan indikasi tahap bateri memudahkan penunggang.

Ia juga dilengkapi peredam sporty, rim sporty bersaiz 14 inci serta ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter yang boleh memuatkan satu topi keledar muka penuh.

Sistem Kunci Pintar Honda pula menawarkan keselamatan terbaik termasuk sistem penggera antikecurian, menghidupkan enjin tanpa kunci serta fungsi ‘answer back system’ untuk memudahkan carian motosikal di kawasan parkir.

RAK dalaman berkembar.
RAK dalaman berkembar.

Bagi keselesaan, skuter ini dilengkapi dengan suspensi hadapan teleskopik dan suspensi tunggal pada bahagian belakang dan brek cakera hidraulik hadapan dan brek dram mekanikal pada bahagian belakang serta kapasiti bahan api 5.5 liter.

Didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam mutiara, biru mutiara, perak metalik dan edisi Repsol, Honda Vario 150 dijual pada harga RM7,199 dan RM7,399 (edisi Repsol) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer, yang mana lebih dahulu.

RUANG simpanan 18 liter.
RUANG simpanan 18 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:00 AM