PINTU gunting menambah ciri premium.
PINTU gunting menambah ciri premium.
Mohd Razlan Salleh

BMW Malaysia memperkenalkan BMW i8 Coupe baharu yang melambangkan revolusi cantuman kuasa ekstrem dengan penggunaan bahan bakar lebih efisien.

Jentera yang menjadi satu lagi ikon BMW i mencerminkan teknologi kenderaan berkuasa dengan identiti mesra alam terbaik.

Teknologi kenderaan Hibrid Plug-in generasi terbaharu ini akan melengkapkan semua model BMW i pada masa akan datang.

Dengan struktur berbahagi merangkumi casis aluminium dan sel penumpang CFRP menawarkan darjah kebebasan luar biasa, BMW i8 Coupe tidak saja menonjolkan keupayaan dinamik kenderaan, malah tahap efisien yang menakjubkan.

Usaha BMW Group berbaloi apabila model ini berjaya merangkul empat kemenangan berturut-turut bagi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sejak 2015.

Menggabungkan enjin pembakaran tiga silinder pengecas turbo dan motor elektrik, BMW i8 Coupe mampu memecut dari kedudukan pegun sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.4 saat dengan penggunaan bahan bakar 1.8 l/100 kilometer (km) serta penggunaan kuasa elektrik 14.0 kWj/100km.

REKAAN menampilkan ciri aerodinamik terbaik BMW.
REKAAN menampilkan ciri aerodinamik terbaik BMW.

Tempat duduk 2+2, bonet yang rata memastikan faktor aerodinamik lebih baik dengan rungkup (overhang) pendek, jarak gandar lebih panjang, kelebaran trek roda tinggi dan garis bumbung lebih landai ke belakang.

BMW i8 Coupe diperkemas dengan rekaan badan berbentuk baji dan memberikan rupa paras kereta sport klasik dengan pintu gunting (scissor doors).

Ciri aerodinamik kenderaan dipertingkatkan yang disumbangkan kedudukan bonet rendah, sistem kawalan flap udara (air flap), ‘air curtains’ di bahagian apron hadapan, bawah badan kenderaan berpenutup selain hadir dengan roda aloi bersaiz 20 inci.

Teknologi drivetrain BMW i8 Coupe baharu merangkumi motor elektrik pada gandar hadapan dan enjin pembakaran dalaman pada gandar belakang.

Kuasa enjin disalurkan ke roda belakang melalui transmisi Steptronic enam kelajuan, manakala motor elektrik memacu roda hadapan melalui kotak gear automatik dua kelajuan.

Pusat graviti lebih rendah dibantu kedudukan bateri bervoltan tinggi di bahagian bawah badan jentera membolehkan kenderaan ini bergerak sejauh 55km menggunakan bateri.

Manakala kebuk pembakaran tiga silinder pengecas turbo dilengkapi ciri suntikan terus dan pemasaan injap pemboleh ubah Valvetronic menjana kuasa maksimum 231 kuasa kuda (hp) manakala tork tertinggi adalah 320Nm.

 JENTERA berkuasa dan mesra alam.
JENTERA berkuasa dan mesra alam.

Gabungan kedua-dua kuasa ini membolehkan BMW i8 Coupe mencapai kuasa maksimum sehingga 375hp.

Ruangan dalaman pula dijelmakan dengan rekaan progresif daripada bahagian luaran kenderaan melalui orientasi pemanduan BMW i8 klasik yang selari dengan konsep sporty dan dinamik.

Kokpit jentera dilengkapi Paparan Head-up BMW yang boleh bertukar ke paparan sport dan merangkumi rev enjin (rpm), gear, serta lampu penukaran gear apabila gear ditukar secara manual dalam mod SPORT.

Sistem Navigasi Profesional (Navigation System Professional) dengan pengantara muka pengguna terkini, termasuk paparan ‘tile’ moden dengan mod ‘live’ dan dikawal menggunakan sistem operasi iDrive meliputi Touch Controller di konsol pusat dan skrin Control Display bersaiz 8.8 inci.

Ciri BMW Connected menyambungkan dunia digital pengguna dengan BMW i8 Coupe yang dibantu Remote App membolehkan pemandu memeriksa dan mengawal kenderaan serta kekal efisien.

Tiga warna ditawarkan iaitu putih kristal, kelabu (Frozen Grey) dan warna istimewa, Donington Grey.

LAMPU belakang rekaan terkini.
LAMPU belakang rekaan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 2:37 AM