PUSAT 3S Honda terbaru di Cheras.
PUSAT 3S Honda terbaru di Cheras.
Mohd Razlan Salleh

Bagi menampung keperluan pelanggan yang sentiasa meningkat saban hari, Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) membuka Pusat 3S terbarunya di Cheras, dengan menawarkan khidmat lepas jualan, penyelenggaraan dan alat ganti tulen.

Pembukaan itu juga menjadi pusat sehenti bagi pelanggan di sekitar Cheras, Kajang dan Seri Kembangan mendapatkan perkhidmatan terbaik untuk kenderaan mereka.

Berkeluasan 11,000 kaki persegi, Pusat 3S milik MJN Motors Sdn Bhd (MJN Motors) menawarkan kemudahan dan kelengkapan terkini yang mematuhi tahap piawaian Honda termasuk 12 ruang merangkumi tujuh ruang perkhidmatan, tiga bahagian pembaikan am dan dua perkhidmatan tayar, selain mampu menampung sehingga 30 kereta setiap hari.

RUANG menunggu yang selesa.
RUANG menunggu yang selesa.

Selain itu, bangunan dengan kos pelaburan mencecah RM6 juta itu menempatkan ruang menunggu, sudut kanak-kanak, kafe dan surau bagi kemudahan pelanggan.

Malah, perkhidmatan tambahan seperti pembaharuan cukai jalan, insurans dan lain-lain juga disediakan untuk pemilik Honda.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pihaknya sentiasa menekankan kepuasan pelanggan dan peranan dimainkan pengedar sangat penting.

“Honda Malaysia yakin semua usaha dapat dicapai dengan sokongan pengedar setia seperti MJN Motors yang menawarkan kemudahan terbaik kepada pelanggan yang semakin meningkat jumlahnya.

“Selaras dengan peningkatan jualan, jumlah perkhidmatan lepas jualan pada separuh pertama tahun ini meningkat hampir 612,000 unit atau peningkatan 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya ketika majlis pelancaran.

KAFE luas dan bersih.
KAFE luas dan bersih.

Hadir sama Pengarah Eksekutif MJN Motors, Wan Hazmi Wan Mustafa.

Toichi berkata, untuk wilayah tengah, rekod menunjukkan pihaknya menerima lebih 296,300 perkhidmatan selepas jualan, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sementara itu, Honda Malaysia mencatatkan rekod jualan 51,354 unit kenderaan sepanjang separuh pertama tahun ini dan berada di landasan tepat untuk meraih sasaran 109,000 unit kenderaan tahun ini.

“Honda Malaysia juga mencatatkan bilangan tempahan tertinggi dalam sejarah pada Jun lalu dengan jumlah 20,000 unit.

“Momentum positif ini mengekalkan kedudukan Honda sebagai jenama nombor satu bagi segmen bukan nasional dan kedua dalam Volume Industri Keseluruhan (TIV) bagi separuh pertama tahun ini,” katanya.

RUANG servis lapang.
RUANG servis lapang.

Menurut Toichi, model kenderaan pemasangan tempatan (CKD) terdiri daripada City, Jazz, HR-V, BR-V, CR-V, Civic dan Accord menjadi peneraju dalam segmen masing-masing.

“Wilayah tengah menjadi penyumbang tertinggi dengan lebih 24,400 unit atau 47 peratus atau dari segi pecahan jualan mengikut negeri, Selangor menyumbangkan 67 peratus jualan bermula Januari hingga Jun tahun ini.

“Model City pula adalah model yang paling popular,” katanya.

KELENGKAPAN sempurna untuk pelbagai kenderaan Honda.
KELENGKAPAN sempurna untuk pelbagai kenderaan Honda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 12:05 AM