GAYA inspirasi model legenda.
GAYA inspirasi model legenda.
Lizam Ridzuan

Sebaik mendapat kunci, yang bermain pada fikiran adakah motosikal BMW R Nine T Urban G/S ini selesa dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh atau hanya bagi kegunaan dalam bandar.

Bagi merasai gaya tunggangan dan prestasi enjin model ini, penulis menyertai beberapa rakan media untuk berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Kuala Tahan, Pahang bagi membuat liputan acara Rimba Raid dengan jarak perjalanan hampir 300 kilometer (km).

Roadster retro R Nine T ini dikategorikan dalam segmen Heritage oleh BMW Motorrad mula dipasarkan sejak 2014 dan model Urban G/S diinspirasikan daripada legenda BMW R80 G/S iaitu jentera segmen dwiguna yang dikeluarkan sekitar 1980 hingga 1987.

Selain model ini, varian lain ditawarkan ialah R Nine T, R Nine T Pure, R Nine T Racer dan R Nine T Scrambler yang menyediakan karakter tersendiri untuk penunggang adventure atau cafe racer.

Melihat kepada reka bentuk Urban G/S, ia menawarkan jentera dengan sentuhan rekaan vintaj dan menjadi pilihan kepada kaki ‘custom’ kerana cirinya yang asas selain casis dan enjin yang mudah dipisahkan.

PACUAN shaft lancar.
PACUAN shaft lancar.

Rekaan perumah lampu hadapan bulat dengan pelindung angin, mudguard tinggi dengan pelindung fork teleskopik 43 milimeter (mm), roda hadapan bersaiz 19 inci dan belakang 17 inci menyerlahkannya untuk kelihatan sebagai motosikal era retro.

Ia digabungkan dengan rekaan tangki warna putih bercorak grafik biru dan pelana merah mendatar menjadikannya unik dan menarik perhatian umpama ‘throwback’ jentera dwiguna 1980-an itu.

Sebagai tambahan kepada ciri kelasakan, ia dipasang dengan ‘foot pegs’ Enduro, brek kaki keluli dan pelindung haba pada ekzos bagi menyesuaikan ciri untuk laluan off-road sederhana.

PELANA mendatar gaya retro.
PELANA mendatar gaya retro.

Rekaan kerangka tiga bahagian pada hadapan dan dua bahagian subkerangka belakang untuk menggalas enjin dan kotak gear yang mana tempat duduk pembonceng boleh ditanggalkan jika menunggang secara solo.

Ia tampil kompak gabungan besi berwarna hitam dan padanan metalik serta enjin yang dimuatkan menjadikan jentera ini kelihatan lebar dari hadapan dan tirus di belakang.

Memulakan tunggangan, penulis tidak berasa sukar mengendalikan jentera ini dengan posisi menunggang selesa pada bar pemegang yang tinggi dan lebar, namun perlu menyesuaikan diri dengan kedudukan pelana yang mendatar.

POSISI menunggang santai.
POSISI menunggang santai.

Laluan sepanjang Lebuhraya Karak dengan selekoh tajam dan berbukit menjadi pentas ujian awal untuk Urban G/S beraksi dan tiada kekurangan kuasa dirasakan malah seronok melayan setiap selekoh.

Ini kerana model ini dijana enjin ‘boxer’ silinder-berkembar 1,170cc sejukan udara dan cecair menyalurkan kuasa kuda 110hp pada 7,750rpm dan daya kilas 116Nm pada 6,000rpm.

Ketika melalui jalan kampung bermula dari Jerantut ke Kuala Tahan dengan laluan dua lorong memerlukan penulis melakukan tunggangan agresif ketika memintas kenderaan dan sistem transmisinya berfungsi dengan baik.

ENJIN boxer 1,200cc.
ENJIN boxer 1,200cc.

Tukaran gear daripada klac cakera tunggal kering hidraulik beroperasi lancar dengan padanan kotak gear Synchromesh enam kelajuan pacuan shaft menjadikannya responsif pada pelbagai kelajuan.

Menunggang Urban G/S menjadi lebih yakin dengan lengan ayun tunggal aluminium BMW Motorrad Paralever, topang spring tengah prabeban dan redaman boleh laras peringkat lantunan memberi ketepatan dan pengendalian lebih stabil ketika laluan selekoh serta melalui permukaan jalan tidak rata.

Oleh kerana motosikal ini hanya dengan ciri ‘asas’, maka instrumen meter juga ringkas dengan gabungan analog dan digital yang memaparkan kelajuan serta maklumat perjalanan.

Tiada penunjuk untuk tahap bahan api menjadikan perjalanan tambah mencabar tetapi motosikal ini mempunyai tangki sebesar 17 liter.

METER ringkas.
METER ringkas.

Selepas mengujinya untuk isian penuh, jentera ini mampu bergerak sejauh 250 kilometer (km) bergantung kepada corak tunggangan dengan 3.5 liter simpanan yang mana paparannya pada meter digital akan menyala sekiranya bahan api perlu diisi.

Ciri keselamatan asas seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dipasangkan pada brek cakera berkembar hadapan 320mm dengan angkup Brembo dan cakera tunggal 265mm angkup ‘terapung’ omboh berkembar pada bahagian belakang daya pemberhentian lebih stabil.

Secara keseluruhan, BMW R Nine T Urban G/S adalah motosikal serba boleh sesuai untuk kegunaan urban dan harian, hujung minggu atau kembara.

Ia menawarkan kendalian mudah dan stabil dengan peredam bar pemegang hadapan dan berat keseluruhan 221 kilogram (kg), Urban G/S adalah jentera berprestasi terutama ketika melewati laluan berselekoh tajam, off-road sederhana atau di lebuh raya.

BREK dengan ABS dan angkup Brembo.
BREK dengan ABS dan angkup Brembo.

Meskipun dilengkapi enjin boxer, ia ditala dengan baik bagi disesuaikan mengikut keperluan tunggangan terutama ketika perjalanan dalam bandar atau sebagai gaya tunggangan cruiser.

Untuk perjalanan jarak jauh meskipun tiada penyangkut untuk meletakkan kotak sisi (side box) bagi membawa barangan namun sebagai opsyen, anda boleh mendapatkan beg pada tangki yang dijual berasingan sebagai aksesori.

Model ini adalah jentera gabungan retro, moden dan lasak yang mudah disesuaikan untuk gaya fesyen ‘hipster’, ‘Distinguished Gentleman’s Ride’ atau jaket kulit gaya ‘rider’ sebenar.

Kepuasan tunggangan dapat dirasakan dengan deruman bunyi ekzos sporty ketika pendikit dipulas dan posisi menunggang santai pada pelana 850 milimeter (mm) sesuai untuk kebanyakan saiz penunggang Asia.

Untuk pasaran tempatan, model dimport sepenuhnya dari Jerman ini dijual pada harga RM82,950 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan.

CORONG penyejuk udara.
CORONG penyejuk udara.

BMW R NINE T URBAN G/S

• ENJIN: 1,170cc boxer, silinder berkembar selari, sejukan udara/cecair

• KUASA MAKSIMUM: 110hp pada 7,750rpm

• TORK MAKSIMUM: 116Nm pada 6,000rpm

• KAPASITI BAHAN API: 17 liter

• CIRI KESELAMATAN: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)

• HARGA: RM82,950 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:07 AM