MINI Countryman PHEV dan Sports utamakan gaya, prestasi.
MINI Countryman PHEV dan Sports utamakan gaya, prestasi.
Lizam Ridzuan


Kehadiran dua varian MINI Countryman terbaru menambah kepelbagaian kenderaan aktiviti sukan (SAV) premium sejak diperkenalkan pada 2013.

MINI Countryman Plug-In Hybrid (PHEV) dan MINI Cooper S Countryman Sports, kedua-keduanya varian pemasangan tempatan (CKD) mencatat sejarah apabila menjadi model pertama dipasang di luar Eropah.

MINI Countryman PHEV

Untuk model MINI Countryman Plug-In Hybrid (PHEV), mod Max eDrive pemanduan elektrik penuh mampu bergerak sejauh 42 kilometer (km) tanpa penggunaan petrol dan boleh dicas semula dengan Kabel Mengecas Rumah (Home Charging Cable) berkuasa 230V atau 270 fasiliti awam atau stesen petrol di seluruh negara.

Varian ini dijana enjin 1.5L pacuan semua roda dengan transmisi enam kelajuan automatik menyalurkan 244 kuasa kuda (hp) dan daya kilas mencecah 385 Nm, menjadikannya model paling pantas dalam kelasnya.

Kelajuan maksimum dicatatkan sehingga 198 kilometer sejam (km/j) manakala penggunaan petrol sekitar 2.1 liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Untuk mod Auto eDrive dengan sistem pintar membolehkannya dipandu sehingga 80km/j tanpa petrol.

Jika memandu pada kelajuan lebih tinggi, enjin petrol akan disokong motor elektrik eBoost yang beroperasi secara automatik bagi penggunaan tenaga dan bahan api efisien.

Rekaan luaran dengan lambang ā€˜eā€™ pada salur pengecas dan ā€˜Sā€™ pada sisi serta belakang selain kit badan bersama roda aloi 19 inci MINI Yours Masterpiece tampil menyerlah.

Ruang dalaman dengan stereng kulit Yours WALKnappa MINI dengan paparan skrin bersaiz 6.5 inci resolusi tinggi dan teknologi skrin sesentuh dengan fungsi pinch-to-zoom untuk akses peta dan menaip.

Kerusi belakang juga boleh dijatuhkan untuk nisbah 40:20:40 bagi menambahkan ciri praktikal dengan but simpanan sebesar 405 liter menjadi 1,275 liter.

Pengalaman pemanduan lebih mengujakan apabila roda hadapan digerakkan menggunakan enjin manakala roda belakang dikuasakan motor elektrik.

Pilihan warna ditawarkan ialah merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey), putih (Light White), perak (Melting Silver) dengan bumbung hitam selain biru (Island Blue) yang dipadankan dengan bumbung putih.

MINI Cooper S Countryman Sports

Untuk model MINI Cooper S Countryman Sports, varian ini disertakan pakej eksklusif John Cooper Works (JCW) untuk tampil lebih garang.

Dijana enjin 2.0L Turbo TwinPower MINI dengan lapan kelajuan automatik, jentera ini menawarkan 192hp dan daya kilas 280Nm.

Ini membolehkan Countryman Cooper S Sports memecut dari kedudukan sifar ke 100km/j dalam tempoh 7.4 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 224km/j.

Sistem suspensi sport ditala untuk mengekalkan kestabilan pada pelbagai kelajuan selain dipadankan roda aloi 19 inci JCW Course.

Rekaan dalaman dengan Anthracite Headliner untuk suasana lebih selesa seperti lampu, pemegang bumbung belakang, tempat duduk kulit hitam Cros Punch, stereng MINI JCW, paparan sesentuh bersaiz 8.8 inci dengan sistem navigasi.

Ia juga dilengkapi paparan maklumat Head-Up MINI untuk perjalanan lebih tenang selain sistem hiburan Harman Kardon untuk gema bunyi muzik lebih jelas melalui 12 pembesar suara premium.

MINI Cooper S Countryman Sports ditawarkan dengan pilihan warna merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey) dan putih (Light White).

Harga jualan untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid bermula daripada RM255,888 dan MINI Cooper S Countryman Sports pada RM245,888 dengan jaminan empat tahun pengeluar tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 2:26 PM