PANAMERA 4 E-Hybrid antara varian terbaru.
PANAMERA 4 E-Hybrid antara varian terbaru.
Lizam Ridzuan

Menggabungkan elemen coupe, wagon dan hatcback pada sebuah kenderaan menjadikan penampilannya berbeza.

Dengan imej shooting-brake yang menawan, pengedar tempatan kenderaan Porsche, Sime Darby Auto Performance (SDAP) melancarkan model Panamera Sport Turismo yang berasaskan model Panamera Sports Saloon.

Tiga varian ditawarkan iaitu Panamera 4 Sport Turismo, Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo dan Panamera Turbo Sport Turismo.

Rekaan sporty tampil menyerlah bermula dengan tiang B pada pintu belakang sehingga ke bumbung dan tiang D.

CIRI dalaman mewah dengan teknologi terkini.
CIRI dalaman mewah dengan teknologi terkini.

Bahagian belakang sempurna dengan Spoiler Belakang Aktif yang terbuka secara tiga peringkat apabila kelajuan mencecah 170 kilometer sejam (km/j) bagi mengekalkan aerodinamik selain tambahan ‘downforce’ 50 kilogram (kg) pada gandar belakang.

Panamera Sport Turismo ini didatangkan dengan pintu but elektronik dengan tempat duduk konfigurasi 4+1 sebagai opsyen. Bagi mendapatkan lebih ruang, kerusi belakang boleh direbahkan dengan satu butang untuk nisbah 40:20:40, mencipta ruang kapasiti maksimum 1,390 liter (1,295 liter untuk E-Hybrid Sport Turismo).

Untuk keselesaan, bumbung ditinggikan supaya penumpang mudah keluar masuk selain ruang kelegaan kepala lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer berkata, model itu mengetengahkan inovasi terkini dari segi rekaan dan teknologi, sesuai untuk kegunaan harian atau gaya hidup hujung minggu.

KERUSI belakang dengan opsyen 4+1.
KERUSI belakang dengan opsyen 4+1.

“Gaya yang praktikal tetapi mengekalkan karakter prestasi dengan ciri kokpit termaju Porsche, sistem casis kendalian gandar belakang dan Kawalan Casis Dinamik Porsche (PDCC Sport).

“Semua model Panamera Sport Turismo dilengkapi Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM) iaitu sistem pacuan semua roda yang dikawal secara elektronik oleh klac plat-majmuk,” katanya ketika pelancaran.

Dikuasakan tiga pilihan enjin iaitu 3.0L V6 Turbo (Panamera 4) yang menjana 330 kuasa kuda (hp), 2.9L V6 dwiturbo dengan motor elektrik (Panamera 4 E-Hybrid) menjana 462 hp dan 4.0L V8 dwiturbo (Panamera Turbo) dengan 550 hp.

Varian Panamera 4 E-Hybrid boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 51 km menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dengan lapan kelajuan PDK.

BUKAAN pintu but luas.
BUKAAN pintu but luas.

Untuk kelajuan maksimum, model ini boleh mencapai sehingga 304 km/j dengan kedudukan pegun ke 100 km/j hanya 3.8 saat.

Untuk pasaran tempatan, model ini dijual pada harga bermula RM990,000 bagiPanamera 4 Sport Turismo, RM1.12 juta (Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo) dan RM1.94 juta (Panamera Turbo Sport Turismo).

Semua varian didatangkan dengan jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:28 AM