TAMPIL kelainan sebagai kereta mewah premium.
TAMPIL kelainan sebagai kereta mewah premium.
HM Digital

Kehadiran kenderaan bercirikan limosin di negara ini sudah tidak asing lagi. Paling ketara persaingan rapat antara dua jenama terkemuka dari Jerman yang masing-masing berentap mempertaruhkan model sedan premium kepada pasaran tempatan.

Jenama yang tidak mahu ketinggalan memperkenalkan model sebegini ialah BMW menerusi model BMW 740Le xDrive, varian terkini BMW 7 Series di Malaysia.

Jangan terkejut kerana model itu kini ditawarkan pada harga sangat kompetitif berbanding model 7 Series terdahulu dijual pada harga lebih RM600,000 malah harganya hampir sama dengan pesaing terdekat. Maka, pada tanda harga atas jalan RM598,800 (tanpa insurans), anda memiliki limosin mewah sarat dengan teknologi automotif terkini.

Apa menyebabkan harga kereta ini lebih murah. Pertama, harga asal sebelum Insentif Kelulusan Hibrid daripada Kerajaan RM853,800 selepas memperoleh insentif Kelulusan Hibrid berjumlah RM255,000, harga jualannya menjadi RM598,800.

Faktor kedua enjin digunanya bercirikan hibrid (plug-in hybrid) iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat silinder, dipertingkatkan kuasa sehingga 258hp dan tork 400Nm. Ia juga dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 113hp dan tork 250Nm bersama transmisi automatik ZF lapan-kelajuan serta bateri lithium-ion 9.2 kWh, menjadikan keseluruhan kuasanya 326hp dan tork 500Nm.

Hadir dengan teknologi eDrive, kereta ini sangat senyap hinggakan penulis tidak menyedari enjin sudah dihidupkan.

KOKPIT pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
KOKPIT pemandu yang sarat dengan butang kawalan.

Dari segi prestasi, 740Le xDrive ini dipacu 0-100 km/j dalam tempoh 5.3 saat, menjadikannya lebih pantas berbanding 730Li (6.3 saat) dan hanya sedikit perlahan berbanding 740Li (5.6 saat). Bagaimanapun, dengan ciri plug-in hybrid, ia memberikan pacuan elektrik sepenuhnya bagi jarak maksimum 41 km, dengan kelajuan dalam mod ini sehingga 140 km/j.

Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 2.3 liter setiap 100km dan emisi karbon dioksida pula 53 g/km. Dengan bateri yang terletak di bawah tempat duduk belakang, ruang kargo disempitkan daripada 515 liter kepada 420 liter.

Bahagian dalaman kabinnya dibaluti kerusi kulit Nappa yang eksklusif bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar grain grey). Kemasan kayu juga membaluti tombol pemegang tangan di bahagian atas kereta ini. Memang sesuai kereta ini dinaiki golongan eksekutif berjawatan tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau mana-mana pengerusi syarikat.

Kabin model ini sarat pelbagai teknologi terkini meliputi Paparan Sentuh BMW pada monitor dan BMW Gesture Control. Kehadiran ciri eksklusif Rekaan Lampu Ambien merangkumi Welcome Light Carpet bahagian hadapan pintu depan mengalu-alukan kedatangan pemandu dan penumpang.

Lampu ambien di dalam kereta enam warna dan mood berbeza. Sama seperti BMW 7 Series generasi keenam, 740Le xDrive ini turut menampilkan bumbung kaca panoramik Sky Lounge yang dipasang dengan lebih 15,000 butiran lampu LED.

Beralih ke bahagian tempat duduk belakang, unit kawalan BMW Touch Command diletakkan di konsol tengahnya iaitu satu lagi inovasi mengubah segmen kenderaan mewah. Paparan tablet bersaiz 7 inci pertama boleh dialih keluar dan disambung dengan sistem kenderaan, penumpang kini boleh mengakses semua fungsi hiburan dan ciri keselesaan yang ada. Hampir semua fungsi boleh dikawal menerusi tablet ciptaan Samsung ini.

Malah turut ditampilkan dengan sistem bunyi 600w Harman Kardon bersama 16-unit pembesar suara, keselesaan dipertingkatkan lagi dengan tempat duduk yang dibina bersama pelarasan elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Tempat duduk penumpang belakang dengan fungsi lapan program urutan, termasuk program Vitality. Elemen lain termasuk tempat duduk dengan kulit upholstery Nappa bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey) dengan pelarasan tambahan untuk hadapan dan belakang, sokongan lumbar dan fungsi mengurut serta kawalan suhu automatik empat-zon dan Pandangan Sekeliling 360-darjah.

Gaya yang elegan itu disempurnakan lagi dengan satu set rim aloi jejari-berkembar bersaiz 19-inci dibaluti tayar 245/45R di hadapan dan 275/40R di belakang.

Meskipun dipadankan dengan enjin 2.0 liter, model BMW ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris dengan TwinPower Turbo daripada keluarga enjin EfficientDynamics BMW Group, menjadikannya enjin paling berkuasa pada model siri keluaran BMW.

Padanan transmisi Steptronic lapan kelajuan berupaya mencatat kelajuan maksimum 250km/j. Motor elektrik bertindak sebagai janakuasa berfungsi sama ada dengan mengalihkan beban enjin atau menyimpan kembali tenaga ketika membrek, bergantung pada mod hibrid yang dipilih. Tenaga dijana disalurkan ke dalam bateri bervoltan tinggi.

Gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik menawarkan output mencecah 326hp dan tork puncak 500Nm. Hasilnya, pecutan serta-merta dan kuasa dinamik setiap kali pedal minyak ditekan.

Sebagai varian BMW iPerformance, casis 740Le xDrive ini terdiri daripada dua gandar suspensi udara dengan pelarasan ketinggian automatik dan Kawalan Peredam Dinamik yang menawarkan tahap keselesaan terbaik.

Ia turut membawakan ciri Driving Experience Control yang boleh diaktifkan menerusi satu suis pada konsol tengah melalui mod ADAPTIVE mengikut gaya dan profail laluan pemandu. Sementara pilihan mod pemanduan ECO PRO, COMFORT dan SPORT dipertingkatkan untuk menyerlahkan lagi komposisi pemanduan dinamik, selesa dan efisien.

Aspek Sheer Driving Pleasure menerusi sistem BMW xDrive dipertingkatkan lagi apabila dipasang buat julung kalinya ke dalam model sedan BMW di Malaysia.

xDrive beroperasi secara proaktif membolehkan kuasa diagihkan ke roda hadapan dan belakang mengikut keperluan malah, sistem ini mampu menyalurkan hampir 100 peratus kuasa ke setiap roda.

Model ini menampilkan Kawalan Kelajuan Aktif dengan fungsi henti dan mula, bantuan kawalan stereng dan lorong serta bantuan kekal lorong dengan perlindungan perlanggaran juga bantuan trafik lintasan hadapan dan belakang.

SUIS kawalan menggunakan tablet binaan khas.
SUIS kawalan menggunakan tablet binaan khas.

Selain itu, ia didatangkan dengan Bantuan Pemanduan asas termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, pencegahan pelanggaran belakang, amaran menukar lorong dan ketibaan lorong serta amaran trafik lintasan belakang.

Pelbagai status data kenderaan dan operasi fungsi terpilih juga boleh dikendalikan oleh BMW Display Key melalui ciri Touch Display bersepadunya. Pemandu boleh memeriksa takat minyak, jarak terkini kenderaan, status cas, status sistem kunci berpusat, tingkap dan bumbung kaca, mengetahui masa serta mengaktifkan sistem pendingin hawa dan ventilasi dari dalam kenderaan.

Dengan kapasiti tenaga mencecah 9.2 kWh, bateri lithium-ion bervoltan tinggi pada 740Le xDrive boleh dicas semula menggunakan soket kuasa domestik. Manakala cas penuh menggunakan BMW i Wallbox Connect boleh dicapai dalam masa kurang lima jam. Proses mengecas boleh diuruskan sama ada menerusi aplikasi BMW Remote pada telefon pintar atau grafik dalam kluster instrumen kereta.

Model 740Le xDrive didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), biru (Imperial Blue), putih (Mineral White) dan kelabu (Sophisto Grey).

Ditawarkan dengan harga RM598,800 (tanpa insurans) bersama waranti lima tahun tanpa had perbatuan dan penyelenggaran berjadual percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 2:29 AM