Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Baru-baru ini saya menukar minyak enjin kepada siri 5W-30, namun ketika pemanduan sekitar 20 minit, suhu enjin kereta meningkat hampir mencecah paras maksimum dan keadaan ini tidak pernah terjadi ketika menggunakan minyak enjin 15W-40.

Saya juga sudah melakukan penyelenggaraan radiator, namun perkara ini terus berulang. Soalan saya, benarkah kenyataan tersebar di Internet mengatakan jarak perbatuan kereta melebihi 100,000 kilometer (km) lebih sesuai menggunakan minyak enjin 20W-50?

Azman Miswan,

Lumut, Perak

Tidak dinafikan minyak pelincir berperanan membantu pengalihan haba enjin yang membantu sistem penyejukan. Namun begitu, kesan penyejukan daripada minyak pelincir tidaklah begitu ketara sehingga mampu memberi kesan negatif serta-merta.

Mungkin cara pemanduan agak keras menyebabkan suhu enjin meningkat secara mendadak.

Ada benarnya menggunakan minyak yang lebih pekat sedikit bagi kereta berusia supaya kesan kapilari aliran minyak ke bahagian enjin akan lebih berkesan.

Walaupun begitu, bergantung pada keadaan kelegaan bahagian enjin anda terutama sekali keadaan rotor pam minyak pelincir dan juga bahagian bergerak lain terutama alur minyak pada kepala silinder.

Minyak yang terlalu cair mungkin tidak dapat dipam pada tekanan secukupnya menyebabkan geseran meningkat kerana kekurangan pelinciran, secara tidak langsung meningkatkan suhu enjin.

Periksa juga masalah lain yang mungkin berkaitan antaranya wayar kipas, tahap minyak pelincir atau cecair penyejukan yang tidak mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:56 AM